Proton buka Pusat Pemasangan Cermin Gelap di Tanjung Malim

Proton buka Pusat Pemasangan Cermin Gelap di Tanjung Malim

ROSLAN Abdullah (tengah) pada majlis perasmian pembukaan Pusat Pemasangan Cermin Gelap di fasiliti pengeluarannya di Tanjung Malim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton merasmikan pembukaan Pusat Pemasangan Cermin Gelap di fasiliti pengeluarannya di Tanjung Malim yang mampu memasang cermin gelap sehingga 5,000 unit kenderaan sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pembukaan pusat pemasangan cermin gelap baharu ini adalah satu langkah penting ke arah komitmen Proton untuk menyampaikan produk berkualiti dan nilai tambahan kepada pelanggan.

“Dengan mengambil tanggungjawab untuk proses pemasangan, kami mempunyai kawalan kualiti yang lebih baik dan boleh menawarkan ketenangan minda kepada pelanggan. 

“Dengan kapasiti pemasangan sebanyak 5,000 unit kenderaan sebulan, pusat ini juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan volum dalam jangka masa pendek.

“Ini kerana lebih banyak model dalam rangkaian Proton akan ditawarkan dengan cermin gelap sebagai aksesori standard,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemasangan cermin gelap keselamatan diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium Proton X90 apabila dilancarkan pada 7 Mei 2023. 

Katanya, ini diulangi untuk S70 semasa dilancarkan pada November tahun lepas dengan kedua-dua varian Flagship dan Flagship X dilengkapi dengan cermin gelap keselamatan sebagai sebahagian daripada pakej aksesori standard. 

“Pilihan itu akan ditawarkan kepada model lain dalam masa terdekat kerana Proton sentiasa berusaha untuk memberikan nilai tambahan kepada para pelanggan.

“Terdapat banyak kelebihan apabila pemasangan cermin gelap dikendalikan oleh pengilang peralatan asal (OEM) berbanding dengan pemasangan selepas pembelian kenderaan. 

“Ini termasuk ketepatan dan kemasan yang lebih baik menggunakan cetakan pra potong, langkah jaminan kualiti yang ketat, pematuhan kepada peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pencegahan kerosakan sekunder yang biasanya dikaitkan dengan pemasangan selepas pasaran,” ujarnya.

Tambahnya, pelanggan juga boleh menikmati jaminan jarak tempuh tanpa had selama lima tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap, membuktikan komitmen Proton yang menekankan kepuasan pelanggan dan ketahanan produk.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×