Turun harga tidak selesaikan masalah

Turun harga tidak selesaikan masalah beras

MARZUKHI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan kerajaan menurunkan harga jualan runcit Beras Putih Import (BPI) di antara RM2 hingga RM3 di pasaran bagi pek 10 kilogram tidak akan membantu menyelesaikan masalah dalam industri beras negara.

Bagi pengilang, hanya langkah menyelaraskan satu gred beras putih termasuk mene­tapkan satu aras harga siling beras yang boleh mengawal pihak yang mengambil kesem­patan daripada kelemahan peraturan sedia ada.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kerajaan perlu mengambil kira kepentingan semua pemain dalam rantaian pengeluaran tersebut khususnya petani bagi mencapai keputusan menang-menang.

MONOPOLI

Katanya, beras adalah makanan ruji rakyat dan tidak boleh dibiarkan dimonopoli segelintir pihak sahaja, dengan sebuah syarikat pemborong difahamkan menguasai 67 peratus pasaran beras negara.

“Hanya dengan menyela­raskan satu gred beras putih dan menetapkan satu aras harga siling beras putih boleh mengawal pihak yang mahu ambil kesempatan daripada kelemahan peraturan sedia ada, selain mengelak pengguna daripada terus ditipu.

“Kita minta supaya beras tempatan dan import dijadikan satu gred sahaja sebagai beras putih Malaysia. Selepas itu, kawal dengan harga siling yang dinamik berasaskan indeks harga beras import. Buat sebagaimana kawalan harga petrol,” katanya.

Tambah Marzukhi, petani memerlukan pendapatan setimpal dengan usaha dan pelaburan mereka mengusahakan tanaman padi bagi memenuhi keperluan beras negara.

Katanya, pada masa ini, pesawah bukan sahaja berdepan peningkatan kos mengusahakan sawah, malah kos sara hidup mereka juga semakin meningkat seiring dengan ekonomi negara.

“Petani berhak mendapatkan harga padi yang sesuai dengan pasaran semasa beras, namun keadaan itu nampaknya tidak berlaku,” katanya.

MANIPULASI

Sementara itu, beliau berkata, ramai yang salah anggap kononnya pengilang yang melakukan manipulasi dengan mencampurkan beras tempatan dan import sehingga menyebabkan ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran.

“Ia sebenarnya tindakan pemborong beras yang merupakan kartel dengan menguasai atau memiliki kilang-kilang padi.

“Mereka (kartel) menaja ramai pelesen padi untuk menguasai pasaran padi dengan menawarkan komisyen yang tinggi kepada pelesen. Secara tidak langsung bermain dengan harga padi yang tinggi dan melepaskan kos kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, pesawah terus berharap kerajaan menetapkan harga lantai belian padi yang setimpal sekurang-kurangnya RM1,800 bagi satu tan metrik agar memberi sedikit nafas kepada golongan itu.

Bagi pesawah, jika harga belian padi masih kekal pada kadar RM1,300, dalam situasi semasa agak sukar untuk mereka mengusahakan sawah. Difahamkan, sudah ramai telah berputus asa dan menjual sawah mereka.

Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, semua kos mengusahakan tanaman padi daripada benih, input pertanian sehinggalah upah terus meningkat sehingga membebankan pesawah.

Katanya, bagi mengimbangi keadaan, harga belian padi perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM1,800 satu tan metrik kerana kadar itu memberi sedikit kelegaan kepada para pesawah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×