MELAKA: Peserta Konvoi Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah yang bertolak hari ini melalui jalan darat berharap tuah memihak kepada mereka untuk sampai tepat pada waktunya, iaitu sebelum ketibaan musim haji.
Lebih merisaukan, 20 peserta yang menggunakan empat motosikal, enam kereta dan sebuah motorhome melalui 15,000 kilometer (km) perjalanan belum memperoleh visa daripada kerajaan Iraq.
Wakil konvoi, Shamsul Rosli berkata, Iraq merupakan antara laluan utama sebelum tiba di Mekah, namun sehingga kini tiada khabar berita berhubung visa yang telah dimohon.
“Kami mendoakan sewaktu dalam perjalanan melalui 11 buah negara, harap-harap kami akan memperoleh visa sebelum sampai di Iraq.
“Selain itu, cabaran lain yang cukup menyukarkan buat kami terutama di Nepal, Tibet dan China adalah cuaca sejuk.
“Selain itu, pintu sempadan Tibet-China hanya dibuka pada 1 April dan ini sebenarnya menjadi punca konvoi kita mula bergerak pada bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Shamsul, laluan asal terpaksa diubah berikutan penutupan pintu sempadan Myanmar.
Katanya, keadaan itu memaksa mereka melalui China dan Nepal serta hanya dibenarkan tidur di hotel disebabkan cuaca sejuk melampau.
“Selain itu, ada beberapa kenderaan konvoi pemanduan sebelah kanan tidak dibenarkan sama sekali memasuki Mekah melainkan dua kereta Proton Wira pemanduan sebelah kiri.
“Itupun kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan memasuki Mekah pada jarak 50 kilometer, yang lain terpaksa mencari alternatif lain meletakkan kenderaan,” ujarnya. – UTUSAN











