Lelaki warga Pakistan ditahan, sorok gula pasir tanpa permit

Lelaki warga Pakistan ditahan, sorok gula pasir tanpa permit

GULA pasir yang disorok tanpa lesen atau permit yang dikeluarkan KPDN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang lelaki warga Pakistan atas kesalahan menyimpan gula pasir tanpa lesen atau permit.

Lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai pemilik barang tersebut ditahan di sebuah taman perumahan di Likas, hari ini.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sebanyak 108 kilogram gula dan sebuah kenderaan turut disita dalam Op Tiris yang dilakukan penguat kuasa KPDN Sabah itu. Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM 50,307.80.

Beliau berkata, susulan makluman awam, pasukan penguat kuasa KPDN menjalankan Op Tiris di sebuah taman perumahan awam di Likas kira-kira pukul 10.27 pagi dan mendapati sebuah kereta pacuan empat roda berada dalam pagar rumah memuatkan gula pasir.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut menemukan 108 kilogram gula pasir di bahagian belakang kenderaan.

“Pemilik tidak mempunyai dokumen yang sah serta gagal mengemukakan lesen atau permit untuk menyimpan gula pasir di tempat tersebut.

“Justeru, penguat kuasa KPDN Sabah telah mengambil tindakan dengan menahan lelaki warga Pakistan yang disyaki pemilik untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974, jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Georgie, ketika ini, KPDN Sabah sedang giat menjalankan pemeriksaan dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.

KPDN Sabah akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×