Pastikan murid kuasai 3M sebelum Tahun 3

Pastikan murid kuasai 3M sebelum Tahun 3

Penempatan seramai 6,034 guru baharu Lantikan Secara Kontrak (COS) di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan diharap dapat menangani isu keciciran pembelajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penguasaan dalam kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) murid sekolah perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum memasuki tahun tiga bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada arus pendidikan kebangsaan.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kanak-kanak terbabit ti­dak mampu untuk mengikuti silibus subjek-subjek Bahasa Melayu, Sains dan Matematik dengan baik sebelum mereka melangkah masuk ke peringkat sekolah menengah.

Angka keciciran mungkin ber­ganda jika masalah tersebut tidak ditangani segera.

Kementerian Pendidikan tahun lalu mendedahkan, 269,332 murid sekolah rendah di seluruh negara dikesan belum me­nguasai kemahiran 3M.

Antara faktor dikenal pasti punca kelemahan 3M dalam kalangan murid adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 pada awal 2020 apabila mereka tidak berpeluang menerima pendidikan tahap prasekolah sebelum melangkah masuk ke sekolah rendah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon menegaskan, penguasaan 3M dalam kalangan murid perlu selesai 100 peratus sebelum memasuki tahun tiga kerana jika tidak diatasi. menyebabkan mereka tidak mampu mengikuti silibus mata pelajaran membabitkan Bahasa Me­layu, Sains dan Matematik.

Katanya, memandangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah dimansuhkan, maka menjadi satu ke­perluan untuk mengukur sejauh mana penilaian 3M dkhususnya melibatkan murid tahun satu dan dua.

“Fokus perlu diberikan kepada murid tahun satu secara berkala atau untuk tempoh tiga bulan pertama. Sepanjang tempoh ini, program intervensi bagi mengesan murid tahun satu yang lemah kemahiran 3M mengikut kebolehan, ke­upayaan dan gaya pembelajaran murid.

“Untuk peringkat seterus­nya, sekali lagi kena dilakukan penilaian membaca, mengira dan menulis. Namun, paling penting ukuran 3M perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan sejauh mana pencapaian dalam kemahiran ini. Jika ada masih lemah, maka latihan pengukuhan perlu dilakukan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Fadhli­na Sidek berkata, pelaksanaan program intervensi bagi mengesan murid tahun satu yang lemah kemahiran 3M mengikut kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran murid merupakan antara empat langkah bagi menangani isu keciciran pembelajaran menerusi Intervensi Kurikulum Murid Tahun Satu.

Menurutnya, bagi tempoh tiga bulan pertama ini, guru akan membuat saringan dan pengesanan bagi mengenal pasti tahap penguasaan setiap murid dengan kementerian mahu melakukan intervensi awal bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah pem­belajaran pada masa depan.

Dalam pada itu, Fouzi berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan, bukannya meletakkan tugas itu di bahu guru semata-mata.

Menurut beliau, guru dan sekolah perlu memanggil ibu bapa sekiranya mendapati murid belum menguasai kemahiran 3M.

“Guru tidak boleh bersendirian dalam soal ini kerana baki 17 jam selepas waktu persekolahan adalah di rumah. Ini tidak termasuk lagi cuti hujung minggu dan cuti penggal persekolahan.

“Sejauh mana seseorang murid itu berjaya kuasai 3M atau tidak bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk guru dan ibu bapa. Sekiranya semua memainkan pe­ranan, masalah keciciran murid seperti mana berlaku ini dapat diatasi segera,” katanya.

Fouzi juga mencadangkan pengukuhan 3M diperluaskan kepada 2M iaitu menaakul dan mengaji yang dapat memfokuskan kemampuan berfikir secara rasional dan perkembangan kerohanian.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ibu bapa lebih mudah memahami hasil pencapaian akhir anak mereka dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang akan menggunakan markah dan gred.

Ujarnya, berbanding sebelum ini, penilaian skor setiap mata pelajaran bagi UASA dipaparkan dalam bentuk tahap penguasaan (TP), iaitu antara TP 1 hingga 6 sehingga mencetuskan pertikaian ibu bapa.

Katanya, ibu bapa juga kini boleh mengakses ke sistem pengurusan pentaksiran bersepadu (SPPB) untuk melihat sendiri perkembangan pem­belajaran anak masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×