MELAKA: “Saya tidak rasa seronok tetapi menganggapnya sebagai satu amanah untuk membantu orang lain kerana bukan semua hasil jualan adalah milik kita”.
Itu luahan Nor Komariah Mohd. Khalid Lourdes Lio, 40, atau lebih dikenali sebagai Dak Nor yang nekad menghulurkan sumbangan hasil jualan kuihnya kepada kanak-kanak penghidap biliary atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati, Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham, 2.
Kata Dak Nor yang popular melalui perkongsian video di platform media sosial Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem, dia terpanggil untuk membantu kerana tersentuh dengan penderitaan dialami kanak-kanak itu.
“Nor tengok dia masih kecil lagi dan memerlukan bantuan segera untuk terus hidup. Jadi Nor mesti tolong dia.
“Nor kumpul duit ini sejak dua bulan lalu hasil berniaga kuih mi siput. Sekarang sudah ada RM2,000 dan Nor sumbang semuanya kepada adik Nur Khayla Azzahra,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga Nur Khayla Azzahra di Taman Desa Baru di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, ibu Nur Khayla Azzahra, Noreen Ismail, 35, merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan pemindahan hati anaknya di China berjumlah RM250,000.
Katanya, buat masa ini jumlah berjaya dikumpulkan adalah kira-kira RM80,000 hasil sumbangan ahli keluarga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tambah Dak Nor, kesusahan hidupnya yang sentiasa bergantung kepada ihsan orang lain sebelum ini tidak menjadi penghalang untuk berbakti kepada insan yang lebih memerlukan.
Menurutnya, dia berusaha mengubah kehidupan dengan berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual kuih dan biskut, sehingga mampu berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri.
“Dulu orang lain tolong ketika Nor susah, jadi sekarang Nor tolong orang balik. Hasil jualan produk Nor akan disumbangkan kepada adik Nur Khayla Azzahra dan orang lain yang memerlukan.
“Nor rasa bersyukur sebab boleh berkongsi rezeki dengan orang lain. Nor menyeru kepada semua orang untuk berbakti kepada insan yang memerlukan walaupun dengan sekecil-kecil sumbangan,” ujarnya.
Kisah Dak Nor tular selepas Mohd. Noor Helmy berkongsi video ketika membantu wanita tersebut. – UTUSAN










