KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak mengambil keputusan tidak menaikkan kadar tambang bas awam sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang, berbanding di Semenanjung Malaysia yang akan menyaksikan peningkatan sebanyak 10 peratus.
Pengangkutan bas ekspress merupakan mod pengangkutan yang terpenting di Sarawak terutama menjelang empat musim perayaan utama, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas dan Gawai Dayak.
Pengerusi PLPK Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata, keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada komitmen pihak lembaga untuk menyediakan akses pilihan kepada pengangkutan awam,
Katanya, LPKP Sarawak komited menggubal dasar-dasar yang bukan sahaja untuk meningkatkan perkembangan industri kenderaan komersial di negeri ini, tetapi juga untuk kebajikan dan keselesaan orang awam.
“Pagi tadi saya terlibat dalam sesi perbincangan produktif bersama wakil-wakil dari Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak (SBTCA) berhubung cadangan pelaksanaan sistem pemantauan GPS ke atas bas-bas ekspres.
“Perbincangan tersebut sangat penting kerana ia membolehkan kita mengumpul maklum balas dan insights daripada pemegang taruh yang berkenaan bagi memastikan dasar-dasar berkenaan dapat dilaksanakan secara berkesan,” jelas Kong.
“Semasa sesi berkenaan, kami turut membincangkan pelaksanaan Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) dengan tujuan menggalakkan penggunaan bas awam sebagai mod pengangkutan yang murah dan sekesa,” tambah beliau.
DBSPB adalah resolusi sementara untuk membantu pengusaha perkhidmatan bas henti-henti (stop-and-go bus) yang sedang berhadapan dengan kos operasi yang semakin meningkat, terutama di laluan-laluan yang kurang menguntungkan pihak pengusaha.
Menerusi initiatif DBSPB penumpang bas akan menikmati kadar tambang yang dimampui, iaitu hanya RM1. – UTUSAN










