JOHOR BAHRU: Ibu yang mengelar sehingga mati anak lelakinya yang berusia setahun enam bulan di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang kelmarin masih berada dalam pemerhatian doktor.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, wanita berusia 32 tahun itu telah ditempatkan di Hospital Permai sejak ditahan bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.
“Ketika ini, suspek masih berada dalam pemerhatian doktor,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Mohd. Sohaimi mengesahkan punca kematian kanak-kanak tersebut disebabkan luka akibat dikelar pada bahagian lehernya.
Wanita yang merupakan seorang suri rumah itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang kelmarin, wanita tersebut menghantar gambar anaknya yang berlumuran darah kepada suaminya menerusi aplikasi WhatsApp. -UTUSAN










