JASIN: Seramai 114 peniaga di negeri ini secara sukarela menawarkan Menu Rahmah di lima lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Madani sepanjang Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin berkata, lima BRR Madani itu adalah di Jasin Bestari, Taman Seri Cempaka, Masjid Al-Alami MITC, Masjid Tanah dan KIP Utama, Bachang.
Kata beliau, peniaga yang terlibat akan menawarkan harga juadah pada kadar RM5 dan ke bawah bermula semalam.
“Pelbagai menu disediakan seperti laksa penang, nasi lemak berlauk, martabak, nasi kerabu, kebab, pelbagai aneka jenis kuih dan banyak lagi. Siapa sangka peniaga ini dapat menawarkan juadah ini di bawah RM5 tetapi akhirnya berjaya juga dilakukan.
“Saya sarankan peniaga-peniaga lain kekalkan harga yang berpatutan. Secara tidak langsung pelancong yang datang ke Melaka juga dapat menikmati pelbagai juadah menarik yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran BRR Madani Melaka 2024 di Jasin Bestari di sini, semalam.
Tambah Shoo Chin, Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) turut diperluas di BRR Madani bagi menggalakkan transaksi digital tanpa tunai.
Menurutnya, sebanyak 8,000 baucar e-dompet bernilai RM20 seorang akan diedarkan kepada rakyat negeri ini sehingga 22 Mac depan.
“Edaran di BRR Madani Jasin Bestari dan Taman Seri Cempaka bermula 15 Mac, KIP Utama pada 19 Mac dan Masjid Al-Alami MITC serta Masjid Tanah pada 22 Mac. Agihan baucar ini mendapat kerjasama daripada TNG Digital Sdn. Bhd.,” katanya. – UTUSAN










