PETALING JAYA: Skuad angkat berat negara mempunyai kurang daripada sebulan untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia IWF, di Phuket, Thailand pada 2 hingga 12 April ini.
Itu merupakan medan terakhir buat badang negara dalam usaha mereka memburu tiket ke Sukan Olimpik 2024 yang kini berada di Aceh, Indonesia bagi menjalani latihan intensif.
Pengurus skuad angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim berkata tiga atlet yang menyertai latihan di Aceh adalah Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin masing-masing menyertai kategori 61 kilogram (kg) dan Muhammad Erry Hidayat kategori 73kg di Phuket nanti.
“Kali terakhir Erry menyertai kejohanan pada Sukan SEA 2023, dan ini merupakan platform terbaik untuk dia mendapatkan semula rentak.
“Antara negara yang mampu menggugat kedudukan atlet negara dalam kejohanan di Phuket itu nanti adalah Cuba, Vietnam, Jerman dan Bulgaria,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Amirul berkata skuad angkat berat negara yang telah berada di Aceh 4 Mac lalu dan pemilihan lokasi itu dibuat selepas mengambil kira kepakaran jurulatih yang dimiliki di negara tersebut.
“Aceh dipilih sebagai lokasi terakhir pasukan sebab di situ ada dua jurulatih berpengalaman yang telah berjaya melahirkan juara dunia.
“Ini merupakan persiapan kami sebelum menyertai kejohanan terakhir di Phuket untuk menempah slot ke Olimpik 2024. 10 ranking terbaik akan layak ke temasya itu,” kata Amiruli.
Sebagai rekod, Aniq sebelum ini mencipta sensasi apabila memecah rekod kebangsaan kategori 61kg dalam Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar pada Disember lalu berada di ranking ketujuh kategori 61kg Kelayakan Olimpik Paris 2024. – UTUSAN









