KOTA BHARU: Terpaksa menangguh waktu berbuka puasa antara cabaran yang perlu dihadapi oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepanjang bertugas di bulan Ramadan.
Rohaizat Mamat berkata, perkara tersebut sudah sebati dengan dirinya termasuk rakan-rakan kerana panggilan kecemasan yang diterima tidak mengira waktu.
Menurutnya, Ramadan pada tahun ini lebih mencabar apabila setiap hari dia dan rakan terpaksa mengendalikan kes kemalangan serta menangkap ular.
“Bila melibatkan soal keselamatan, kami tidak boleh menolak. Kebanyakan kes berlaku pada waktu petang dan semasa menjalankan tugas, azan maghrib pun berkumandang.
“Jadi saya dan rakan-rakan terpaksa tangguh dahulu waktu berbuka. Bagaimanapun sebaik selesai tugas, kami beramai-ramai akan berbuka puasa walau hanya dengan seteguk air,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Perdana Kota Bharu, Mohd. Iqmal Muslim berkata, program pengagihan bubur lambuk menjadi acara tahunan pihaknya pada setiap tahun.
Katanya, tahun ini Perdana Kota Bharu tampil dengan kelainan apabila mengagihkan bubur lambuk kepada pasukan beruniform seperti polis, bomba termasuk APM.
“Melalui agihan ini, kita harap hubungan pihak kami dengan anggota beruniform bertambah erat memandangkan mereka barisan hadapan yang bertugas hampir 24 jam membantu masyarakat,” ujarnya.-UTUSAN










