Pelajar Melayu di SJKC meningkat - Utusan Malaysia

Pelajar Melayu di SJKC meningkat

Ramai ibu bapa yang memilih SJKC kerana merasakan sekolah-sekolah tersebut mempunyai banyak kelebihan antaranya sangat berdisiplin dan kaedah pengajaran yang lebih bagus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend ibu bapa bukan Cina mendaftarkan anak-anak mereka memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dijangka terus meningkat sehingga lebih 20 peratus dalam tempoh beberapa tahun terdekat ini.

Ini kerana dalam jangka masa 10 tahun lalu, jumlah enrolmen pelajar-pelajar bukan Cina di sekolah vernakular meningkat hampir dua kali ganda.

Jumlah pelajar Melayu mening­kat daripada 9.15 peratus pada tahun 2010 kepada 15.33 peratus pada 2020. Begitu juga dengan pelajar India dan lain-lain kaum turut meningkat 1.67 peratus kepada 2.75 peratus serta 1.02 peratus kepada 1.67 peratus dalam tempoh sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) direkodkan sekolah kebangsaan (SK) mempunyai 94 peratus pelajar Melayu dan enam peratus bukan Melayu, manakala di semua SJKC mencatatkan 82 pelajarnya merupakan kaum Cina dengan 18 peratus bukan Cina.

Ini menandakan SJKC mencatatkan tiga kali ganda lebih tinggi kadar kepelbagaian kaum berbanding sekolah-sekolah di SK.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, melihat trend tersebut, diramal jumlah pelajar bukan Cina di SJKC boleh mencapai 20 peratus selepas ini.

YAKIN

Menurut beliau, trend tersebut didorong ibu bapa terutama Melayu semakin yakin dengan pengajaran di SJKC.

“Sudah ada kajian yang dibuat mengenai perkara ini, ia menunjukkan antara faktornya adalah mengenai prasarana yang mana kita tidak boleh nafikan bahawa SJKC mempunyai kemudahan pembelajaran yang baik.

“Selain itu, banyak ibu bapa melihat penguasaan bahasa Mandarin semakin penting terutama apabila melihat keadaan ekonomi hari ini sama ada di peringkat China dan global. Malah, jika lihat syarikat swasta sudah banyak menggunakan bahasa tersebut jadi ibu bapa merasakan ini membantu kebolehpasaran anak-anak mereka.

“Terakhir, ibu bapa turut merasakan kaedah pengajaran di SJKC khususnya subjek matematik, Sains dan bahasa Inggeris lebih baik berbanding di SK,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau meng­akui sekolah vernakular masih berhadapan dengan masalah kurangnya pemantapan atau penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar.

Jelasnya, perkara ini dapat dilihat apabila masih ada pelajar-pelajar yang di sekolah vernakular perlu mengikuti kelas peralihan kerana penguasaan bahasa Melayu mereka masih rendah.

PEMANTAPAN

“Jadi kita mahu supaya sekolah vernakular itu benar-benar melaksanakan atau memberi tumpuan kepada pemantapan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajarnya terutama bukan Melayu.

“Ini supaya pelajar-pelajar yang memasuki sekolah tersebut mampu menguasai bahasa Melayu dengan fasih sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Jika perlu untuk meningkatkan peruntukan bagi memastikan kualiti bahasa kebangsaan pelajar berada di tahap yang memuaskan maka kerajaan perlu buat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Anuar berpandangan bahawa isu yang dibangkitkan tersebut boleh diselesaikan melalui peningkatan dan perluasan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

“Program ini bagus tetapi se­perti sudah tiada,. RIMUP adalah aktiviti guru-guru di SK dihantar atau ditukar ke SJKC untuk beberapa minggu, di mana sama-sama melatih dan ada perkongsian antara tenaga pengajar terlibat.

“RIMUP diperkenal pada tahun 1986 tetapi sekarang seperti sudah ‘dilupakan’ sedangkan program tersebut sudah lengkap dari segi aktiviti dan sebagainya tetapi apabila kerajaan bertukar ia menjadi ‘perlahan’ jadi saya harap nafas baharu dapat diberi pada program berkenaan,” jelasnya.

DISIPLIN

Sementara itu, beberapa ibu bapa yang yang memilih menghantar anak-anak ke SJKC rata-rata memberitahu kerana faktor disiplin dselain mahu menguasai lebih banyak bahasa.

Seorang ibu, Nur Najaha Ariffin dari Ampang berkata, dia le­bih ‘yakin’ mengantar anaknya ke SJKC kerana mahu mereka tambah penguasaan bahas lain.

“Saya sebenarnya ada keturunan Cina. Emak saya Cina, tetapi saya tidak belajar bahasa Mandarin, bila besar saya rasa rugi tidak dapat berbahasa Mandarin.

“Sewaktu bekerja pula, saya di bidang pemasaran, banyak juga kelemahan bila saya tidak pandai berbahasa Mandarin. Dari se­belah suami pula, budaya kerjanya selalu ke luar negara khususnya ke negara China. Klien pun ramai Cina. Dari situlah saya dan suami berpandangan alangkah bagusnya jika pandai berbasa Mandarin” katanya..

Oleh itu, katanya, disebabkan menyedari penting bahasa lain dia tekad menghantar anak-anaknya ke sekolah SJKC.

Nur Najaha berkata, sekolah SJKC memang terkenal dengan disiplin jadi dia berasa pilihannya sangat tepat untuk menempatkan anak-anak di situ.

TIADA KOMPROMI

Seorang lagi ibu, Aminah Amir dari Kajang berkata, keempat-empat anaknya dihantar ke SJKC di­sebabkan faktor di sekolah tersebut cikgu-cikgu tidak boleh dikompromi dengan alasan remeh.

Menurut pekerja swasta itu, ketika menghantar anak sulungnya dia berasa ‘rimas’ apabila cikgu sekolah anaknya terlalu tegas antaranya membabitkan rambut pelajar yang mengembang.

“Saya merugut dengan ibu bapa kaum Cina tetapi selepas diterang kenapa begitu saya kemudian terpaksa akur.

“Malah untuk anak lelaki saya fesyennya kena gunting hampir botak. Saya pun bertanya kenapa sampai macam itu sekali, sebelum diberi alasan iaitu jika anak saya merayau pada waktu sekolah, orang awam boleh tolong ‘tangkap’ dan dihantar ke sekolah semula. Kerana dari fesyen rambut komuniti di situ boleh tahu budak itu patut berada di sekolah,” katanya.

Selain itu, katanya, guru-guru di SKJC tidak ‘tunduk’ dengan alasan remeh ibu bapa seperti jika anak-anak tidak menyiapkan kerja rumah, guru akan memberi ‘tekanan’ supaya ibu bapa memastikan anak-anak menyiapkan kerja sekolah.

Seorang lagi bapa, Rozman Ghani yang turut menghantar anaknya ke SJKC berkata, beliau mengakui kos untuk menghantar anaknya untuk menguasai bahasa Mandarin agak tinggi berikutan yuran yang dikenakan di sekolah tadika mahal, namun beliau tetap menghantarnya bagi menjamin masa depan anak-anaknya yang lebih baik.

“Untuk enam bulan pertama yuran dikenakan hampir RM2,000 dan bulanan RM400. Saya menghantar dua orang anak saya di situ, kos memang tinggi, namun saya bertahan untuk kebaikan dalam pelajaran anak-anak saya.

“Kemudian saya sambungkan mereka ke SJKC pula, perkemba­ngannya saya dapat lihat anak-anak menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana ia merupakan bahasa utama di sekolah dan matematik juga bagus kerana mempunyai kaedah pembelajaran tersendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN