PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (SDP) berjaya menamatkan kempen Dragon Deals dengan tempahan sebanyak 376 unit hartanah dengan nilai anggaran kira-kira RM352 juta.
Kempen yang berlangsung dari 1 Januari hingga 10 Mac itu terdiri daripada pelbagai jenis kediaman bertanah dan bertingkat terpilih di perbandaran di seluruh negara.
Kejayaan kempen Dragon Deals adalah satu usaha berterusan dan permintaan hartanah yang terletak di seluruh perbandaran SDP termasuk City of Elmina, Bandar Bukit Raja, Serenia City, Nilai Impian, Bandar Ainsdale, Taman Melawati dan Putra Heights.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan SDP, Datuk Lai Shu Wei berkata, pencapaian itu mendorong syarikat untuk terus berinovasi bagi memenuhi keperluan pengguna yang mengimpikan pemilikan hartanah dengan tawaran hebat di lokasi yang diingini dengan hubungan yang baik, kebolehcapaian, kemudahan dan pengalaman pembelian tanpa masalah.
“SDP sedar tentang sentimen dan cabaran yang dihadapi oleh pembeli rumah. Kempen Dragon Deals telah dipilih dan disusun untuk menawarkan lebih daripada pengalaman membeli rumah biasa bermula di perbandaran kami.
“Matlamat SDP kekal untuk memastikan setiap pembeli terus merasa dihargai serta disokong sepanjang perjalanan pemilikan rumah mereka,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, pelbagai acara menarik turut menyumbang kepada kempen tersebut iaitu Go Landed weekend series dan Rumah Terbuka diadakan dari 20 Januari hingga 25 Februari 2024 di Bandar Bukit Raja, Bandar Serenia, Bandar Ainsdale, Nilai Impian dan Bandar Elmina menampilkan ceramah Feng Shui, fun run, persembahan singa akrobatik, tarian naga, cabutan bertuah dan sesi lou sang.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang terhadap kemampanan, SDP turut bekerjasama dengan perusahaan sosial, Urban Hijau untuk mengumpul sisa makanan di rumah terbuka untuk pengkomposan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada program kesedaran bagi meningkatkan kempen serta menggalakkan pengguna menjaga alam sekitar, set kutleri gentian gandum dan tanaman pasu kecil mesra alam diedarkan kepada tetamu.
Sempena Tahun Baharu Cina, SDP juga turut menghasilkan sebuah filem pendek dengan tajuk ‘Where sustainability flows, prosperity follows’ untuk mempromosikan kisah kelestarian dan alam sekitar inisiatif di perbandaran mereka.
Video tersebut telah mendapat 5.4 juta tontonan setakat 10 Mac lalu. – UTUSAN







