KUANTAN: Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Vennu’ yang dianggotai tiga lelaki tempatan disyaki terbabit dalam lapan kes pecah premis perniagaan dan gudang di lima daerah di negeri ini.
Susulan penahanan lelaki tempatan berusia 35 hingga 40 tahun itu sekali gus menyelesaikan empat kes pecah premis dan gudang di Kuantan serta satu kes masing-masing di Pekan, Maran, Jerantut dan Raub yang dilaporkan sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, penahanan ketiga-tiga suspek adalah susulan satu laporan polis yang diterima daripada seorang peniaga mengatakan premis perniagaan menjual tayar miliknya di Jalan Bypass Kuantan-Gebeng telah dipecah masuk pada 2 Mac lalu.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek telah memotong rantai kunci mangga pintu utama premis dan mengumpil pintu untuk masuk ke dalam selain turut memecah pintu cermin di ruang pejabat premis berkenaan untuk mengambil kunci stor yang menyimpan pelbagai saiz tayar lori.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lebih kurang 100 biji tayar lori pelbagai saiz telah hilang dan telah dilarikan suspek menggunakan lori jenis ‘bonded’ sehingga mengakibatkan mangsa kerugian dianggarkan mencecah RM100,000,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Susulan itu, Wan Mohd. Zahari berkata, satu risikan telah diadakan pada 4 Mac lalu sekitar jam 10.30 malam di mana pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah Kuantan dibantu Pasukan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor telah menahan dua lelaki tempatan di sekitar Johor Bahru dan merampas sebuah lori jenis ‘bonded’.
“Hasil tangkapan dua lelaki berkenaan membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki tempatan berperanan sebagai pembeli barang yang dicuri di Kulai, Johor, serta merampas 31 biji tayar lori pelbagai saiz sekali gus telah mendedahkan penglibatan mereka di dalam kes pecah premis dan gudang di daerah Kuantan, Pekan, Maran, Jerantut dan Raub,” ujarnya.
Hasil siasatan lanjut juga, kata Wan Mohd. Zahari, suspek pertama yang berusia 35 tahun mempunyai 33 rekod jenayah lampau, suspek kedua berusia 40 tahun mempunyai 14 rekod kesalahan jenayah dan narkotik manakala pembeli iaitu suspek ketiga yang juga berusia 40 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
“Ketiga-tiga suspek masing-masing berasal dari Perak, Kedah dan Johor di mana suspek pertama dan ketiga mempunyai perniagaan sendiri manakala suspek kedua tidak bekerja.
“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memecah masuk premis perniagaan dengan cara memotong kunci pintu pagar atau pintu utama dan melarikan barangan dengan kuantiti yang banyak menggunakan lori ‘bonded’ milik suspek pertama.
“Tayar yang dicuri kemudiannya dijual kepada pembeli pada harga lebih murah iaitu sekitar 60 peratus kurang dari harga pasaran,” katanya. – UTUSAN









