SAUDARA PENGARANG,
MASJID Sultan Ahmad Shah yang terletak di Bukit Angin, Temerloh, Pahang merupakan masjid yang baharu dibuka beberapa tahun lalu. Masjid baharu ini lebih besar dan cantik dengan reka bentuk lebih moden dan terletak di tengah-tengah bandar Temerloh yang merupakan kawasan yang sedang giat membangun.
Beberapa bulan yang lepas, saya berkesempatan singgah di masjid ini pada waktu Zohor. Jemaah pada waktu itu tidak ramai jika di bandingkan dengan saiz masjid yang mungkin boleh memuatkan lebih 1,000 orang.
Beberapa perkara yang saya rasakan perlu ditambah baik ialah ruang meletak kenderaan kerana yang ada ketika ini amat sedikit jika dibandingkan dengan taraf dan saiz masjid yang agak besar. Selain itu, cat putih pada petak meletak kenderaan juga sudah pudar. Elok kiranya ia di cat semula agar sentiasa kelihatan jelas terutama pada waktu malam.
Bagi saya, ruang landskap mungkin boleh dikurangkan bagi tujuan menambah petak kawasan meletak kenderaan sebagai galakkan orang ramai ke masjid, selain memberi keselesaan kepada jemaah memandangkan masjid ini terletak di tengah bandar Temerloh selain ia menjadi tumpuan jemaah berikut terdapat lebih 1,000 buah kediaman dengan lebih 10,000 penduduk di kawasan perumahan berdekatan.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur










