Keperluan mempersiap graduan Gen-Z untuk pasaran kerja

Keperluan mempersiap graduan Gen-Z untuk pasaran kerja

GRADUAN masa kini berdepan pelbagai cabaran memandangkan dimensi pekerjaan jauh berbeza berbanding dahulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MEMEGANG segulung ijazah dengan mengenakan jubah konvokesyen dipadankan dengan mortar board di atas kepala merupakan impian mahasiswa baik dari universiti awam mahupun swasta. Tetapi tahukah para graduan terhadap cabaran yang sedang menanti mereka untuk melangkah masuk ke alam pekerjaan memandangkan dimensi cabaran pekerjaan Gen-Z hari ini ternyata berbeza.

Lanskap pekerjaan yang dinamik memberi tekanan kepada para graduan terutamanya isu gaji rendah di era teknologi moden dan kos sara hidup yang tinggi, keperluan kemahiran insaniah yang menjadi kayu ukur selain peluang pekerjaan yang rendah mengikut kelulusan.

Isu ini perlu dipandang serius kerana peningkatan kos sara hidup lebih-lebih lagi di bandar menyebabkan pekerja terpaksa membelanjakan hampir keseluruhan gaji untuk perbelanjaan asas dan tidak mampu untuk membuat simpanan yang mana akan menjejaskan perlindungan keselamatan sosial mereka kelak.

Di peringkat kerajaan, terdapat beberapa akta bertujuan mengawal selia penetapan dan pembayaran gaji kepada pekerja, namun isu gaji rendah masih lagi membelenggu kebanyakan pekerja pada hari ini. Usaha berterusan kerajaan masih lagi diteruskan melalui Dasar Gaji Progresif yang dibentangkan akhir tahun lepas.

Isu ketidaksepadanan pekerjaan dan kemahiran mempunyai kesan negatif bukan sahaja kepada individu yang tidak dapat menjana pendapatan tinggi setimpal dengan Ijazah yang dimiliki bahkan menjadi penyumbang kepada kelembapan ekonomi dan kemajuan negara apabila kekurangan tenaga kerja mahir dan profesional. Faktor kekurangan pekerjaan dan ketidaksepadanan kemahiran dilihat sebagai faktor penolak bagi mahasiswa kita untuk ke keluar negara bagi mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi sepadan dengan kemahiran yang dimiliki.

Cabaran pekerjaan juga diukur melalui penguasaan kemahiran insaniah. Kebanyakan industri tidak hanya menekankan penguasaan kemahiran teknikal semata bahkan memerlukan graduan menguasai kemahiran insaniah agar lebih berdaya saing.-UTUSAN

DR. HANIRA HANAFI, DR. MARIA MOHD ISMAIL dan DR. SITI NUR EDLYN NADIA ZURAIJU
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×