BEIRUT: Kumpulan Hezbollah disokong Iran di Lubnan melancarkan lebih 100 roket menyasarkan kedudukan tentera Israel.
Tindakan itu sebagai membalas dendam atas serangan di timur negara itu sehingga menyebabkan seorang terbunuh, pada sehari sebelumnya.
Menurut kumpulan itu dalam kenyataan, Hezbollah melancarkan lebih 100 roket katyusha pada awal pagi tadi ke arah dua pangkalan tentera di Bukit Golan yang diduduki.
“Ia merupakan tindak balas kepada serangan Israel ke atas rakyat, beberapa kampung dan bandar, yang terbaharu berhampiran bandar Baalbek sehingga menyebabkan seorang terkorban,” jelas kenyataan itu.
Semalam, serangan udara Israel berhampiran bandar Baalbek di timur Lubnan menyebabkan seorang penduduk terbunuh, dalam serbuan kedua ke atas kubu kuat Hezbollah sejak konflik rentas sempadan bermula.
Tentera Israel mengesahkan jet pejuangnya melancarkan serangan ke atas dua tapak milik pasukan udara Hezbollah sebagai membalas dendam terhadap serangan di Bukit Golan yang diduduki selama beberapa hari.
Pada 26 Februari lalu, serangan Israel menyasarkan Baalbek, kira-kira 100 kilometer (km) dari sempadan, mengakibatkan dua pejuang Hezbollah terbunuh.
Terdahulu, Hezbollah memaklumkan ketuanya, Hassan Nasrallah bertemu dengan ahli terkemuka biro politik Hamas, Khalil al-Hayya.
Jelas kenyataan itu, mereka mengadakan perbincangan mengenai rundingan gencatan senjata perang Gaza, serta serangan oleh sekutu Hamas bagi menyokong usaha perangnya. – AFP











