PAPAR: Gangguan bekalan air sejak sebulan lalu memaksa pihak sekolah di daerah ini mengarahkan murid membawa sendiri air daripada rumah untuk kegunaan di tandas sekolah.
Arahan itu dikeluarkan di beberapa sekolah yang terjejas akibat ketiadaan bekalan air sejak sebulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapa pelajar, Azuan Jamal, 45, berkata, pihak sekolah meminta ibu bapa membekalkan anak-anak dengan sebotol air bersaiz 1.5 liter untuk kegunaan murid apabila ke tandas sekolah.
Katanya, masalah ketiadaan bekalan air sekitar daerah Papar sejak sebulan ini bukan hanya mengganggu urusan harian ibu bapa malah, turut memberi kesan kepada anak-anak yang bersekolah.
Azuan berkata, dia mempunyai tiga anak yang bersekolah rendah dan sekolah agama dan kedua-dua sekolah memberikan arahan yang sama iaitu meminta ibu bapa membekalkan anak-anak dengan sebotol air bersaiz 1.5 liter untuk kegunaan mereka apabila ke tandas.
“Masalah tiada air kali ini antara yang paling teruk dialami sejak lebih 40 tahun tinggal di sini. Biarpun ada berlaku tekanan air rendah sejak pertengahan tahun lalu namun, keadaan sekarang boleh dikatakan paling teruk kerana kebanyakan kampung langsung tidak menerima bekalan air.
“Sejak pembukaan semula sekolah semalam, keadaan menjadi lebih rumit kerana di sekolah juga langsung tiada bekalan air,” katanya.
Tangki simpanan air di sekolah juga difahamkan telah kering kerana langsung tiada kemasukan air sejak sebulan lalu.
Biarpun ada penghantaran air dibuat ke beberapa rumah namun, ia hanya mampu bertahan untuk sehari atau dua hari sahaja. Selepas itu, langsung tiada simpanan air kerana tiada penyaluran air dilakukan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Malah, ada jiran yang terpaksa mengambil air di sungai kerana tidak mampu untuk membeli air mineral bagi kegunaan harian.
Menurutnya, sampai bila murid harus diarahkan membawa air sendiri untuk kegunaan tandas di sekolah. Dimana letaknya tanggungjawab pihak berwajib dalam mengatasi masalah ketiadaan bekalan air ini?.
Pihak JANS dan wakil rakyat juga perlu memikirkan langkah penyelesaian jangka pendek bagi memastikan sesi persekolahan tidak terganggu akibat masalah air yang berlaku pada masa ini. – UTUSAN









