PASIR MAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyerbu sebuah premis pemborong serta runcit di sini selepas disyaksi menyeleweng barangan kawalan semalam.
Serbuan pukul 4.30 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas turut menahan pemilik premis berusia 40-an bagi membantu siasatan.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, hasil siasatan lanjut yang dilakukan mendapati pemilik premis disyaki menjual minyak masak bersubsidi kepada orang atau individu yang tidak dilesenkan oleh KPDN.
Menurutnya, lelaki tersebut turut dikesan tidak mengemaskini buku stok barang kawalan dengan gagal merekodkan maklumat-maklumat yang dikehendaki mengikut peraturan sebagai telah ditetapkan berhubung pemilikan barang kawalan walaupun mempunyai lesen.
“Dalam serbuan itu, KDPN turut menyita salinan lesen borong dan runcit serta dokumen-dokumen berkaitan barang kawalan.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, pihaknya akan mengenakan denda yang tinggi dan membuat pertuduhan di mahkamah kepada mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti menyeleweng atau menyeludup barangan kawalan ke negara jiran.-UTUSAN










