GAZA: Imej satelit terbaharu menunjukkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sudah menyiapkan pembinaan jalan baharu yang merentasi utara, timur dan barat Gaza.
PROJEK LALUAN BAHARU
Bekas Ketua Majlis Keselamatan Israel, Briged B. Jeneral Jacob Nage memberitahu BBC, objektif laluan baharu itu adalah untuk menyediakan akses pantas kepada pasukan keselamatan apabila berhadapan dengan ancaman baharu.
Katanya, kerja-kerja pembinaan jalan itu juga dilakukan untuk memudahkan kawalan logistik dan pergerakan tentera Israel di wilayah terkepung itu.
“Ia akan membantu Israel masuk dan keluar kerana Israel akan mempunyai pertahanan menyeluruh, keselamatan dan tanggungjawab untuk Gaza. Kami tidak mahu menunggu sehingga ancaman muncul,” tambahnya.
Jalan itu dibina bermula di pagar sempadan Gaza dengan Israel berhampiran kibbutz Nahal Oz dan berakhir berhampiran pantai.
Ia juga bersilang dengan jalan utama Salah al-Din dan al-Rasyid, dua laluan utama melalui wilayah itu.
Walaupun terdapat rangkaian jalan raya yang menghubungkan timur dan barat, laluan baharu IDF yang lebih luas sepanjang lima kilometer itu adalah satu-satunya yang boleh digunakan tanpa gangguan merentasi Gaza selain menyambung jalan yang sebelum ini tidak berhubung.
Bahagian awal jalan raya di timur Gaza berhampiran sempadan Israel mula dibina antara akhir Oktober lalu dan awal November tetapi kebanyakan bahagian baharu siap pada bulan Februari dan awal Mac.
Menurut media Israel, laluan itu diberi nama Lebuhraya 749 dan seorang wartawan dari Saluran 14 dibawa mengembara di sepanjang bahagian laluan itu bersama tentera Israel dalam laporan khas yang disiarkan bulan lalu.
USAHA CENGKAM GAZA
Ramai pakar bimbang laluan baharu itu akan digunakan untuk menyekat rakyat Palestin daripada pulang ke kediaman mereka di utara.
Pakar turut khuatir usaha itu kelihatan seperti sebahagian daripada rancangan Israel untuk kekal di Gaza selepas menamatkan permusuhan dengan Hamas.
Pada Februari lalu juga, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendedahkan visi pasca perang di mana Israel akan mengawal keselamatan di Gaza selama-lamanya.
Pemimpin antarabangsa sebelum ini memberi amaran kepada Israel agar tidak memindahkan penduduk Palestin secara kekal atau mengurangkan saiz Gaza.
Bekas Pegawai Tentera Britain, Justin Crump yang mengendalikan Sibylline, sebuah syarikat risikan risiko berkata, laluan baharu itu memberi indikasi yang amat penting dalam perkembangan peperangan di Gaza.
“Sudah tentu ia kelihatan seperti sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mempunyai sekurang-kurangnya beberapa bentuk campur tangan dan kawalan keselamatan di Semenanjung Gaza.
“Kawasan ini memotong Gaza City dari selatan jalur, menjadikannya garis kawalan yang berkesan untuk memantau atau mengehadkan pergerakan selain menawarkan medan pertempuran yang agak terbuka,” jelasnya.
Felo Kanan Institut Asia Barat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Khaled Elgindy juga berpendapat jalan itu adalah projek jangka panjang Israel untuk mengawal Gaza.
“Nampaknya tentera Israel akan kekal di Gaza selama-lamanya.
“Dengan membahagikan Gaza kepada separuh, Israel akan mengawal bukan sahaja apa yang keluar dan masuk, tetapi juga setiap pergerakan penduduk di dalam wilayah itu.
“Ini termasuk kemungkinan besar menghalang 1.5 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di selatan daripada pulang ke rumah mereka di utara,” katanya.











