PETALING JAYA: “Tidak lengkap Ramadan tanpa Zayn Rayyan di sisi.”
Itu luahan ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf, 29, pada Ramadan tahun ini ekoran ketiadaan anak sulungnya yang ditemukan maut di sungai berhampiran kediaman mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada Disember lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ismanira berkata, banyak momen dirindukan bersama Zayn Rayyan setiap kali Ramadan walaupun anaknya itu tidak memahami erti berpuasa kerana dia anak istimewa iaitu autisme.
“Selalunya apabila tiba waktu sahur, Zayn Rayyan bangun sekali untuk makan bersama kami walaupun dia masih tidak faham apa itu sahur dan puasa.
“Saya juga pasti rindukan momen-momen menyediakan juadah berbuka bersama Zayn Rayyan. Lazimnya kalau saya sedang memasak di dapur, dia yang paling tak sabar nak tunggu masakan siap.
“Dia akan tunggu di depan pintu dapur sambil kepalanya terjenguk-jenguk ke arah kuali atau periuk yang saya sedang masak. Ramadan kali ini tidak lengkap tanpa Zayn Rayyan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selain itu, kata Ismanira, antara memori tidak dapat dilupakan bersama Zayn Rayyan ketika Ramadan ialah apabila mereka bersama-sama ke bazar Ramadan.
“Dia sangat suka ke bazar, selain kami sekeluarga rindukan kenangan berbuka puasa bersama Zayn Rayyan di luar kerana dia sangat teruja kalau kami berbuka di restoran kegemarannya.
“Malah, ketika ayah Zayn Rayyan bertarawih, Zayn Rayyan temankan saya di rumah. Perasaan saya memang sangat sedih apabila Zayn Rayyan tiada di sisi pada Ramadan ini,” katanya.
Ditanya mengenai kes Zayn Rayyan, Ismanira memberitahu, setakat ini tiada perkembangan terbaharu namun dimaklumkan siasatan masih berjalan.
Bagaimanapun, dia berharap ada sinar sempena bulan Ramadan agar pembunuh anaknya dapat dikesan pihak berkuasa.
Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan,6, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring mengiring di anak sungai berhampiran Blok R, Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa akibat mempertahankan diri. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu mangsa dibunuh. – UTUSAN










