BALING: Setelah lapan bulan menerima hakikat bergelar anak yatim piatu pada usia muda, kerinduan empat beradik terhadap kedua-dua ibu bapa mereka kembali dirasakan pada Ramadan kali ini.
Empat beradik berkenaan adalah anak pasangan Radzuan Salleh dan Rosmawati Ismail yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 14 September tahun lalu selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang mereka melanggar jip tentera.
Anak sulung pasangan itu, Muhammad Amirul Ikhwan Radzuan, 18, berkata, ibadah puasa yang ditempuh kali pertama tanpa ibu bapa bersama tiga adiknya diharapkan dapat dilalui dengan baik.
“Kami kini tidak boleh lagi mengharap air tangan ibu untuk masak makanan kegemaran seperti ayam masak merah ketika berbuka, sebaliknya menikmati hidangan yang disediakan oleh Mak Ngah (ibu saudara).
“Memang rindu saat terkenangkan ibu yang sibuk memasak di dapur dan kami bersama bapa pula membantu membuat persediaan untuk berbuka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Muhammad Amirul Ikhwan berkata, dia bersama tiga adik, Muhammad Alif Irfan, 17; Nurin Alya Ewani, 13, dan Muhammad Riz Danial, 6, kini tinggal dengan ibu bapa saudara, Suzana Muin, 57, dan Ruslan Salleh, 58, di Kampung Jawa, Batu 2, Jalan Kuala Ketil.
“Walaupun menumpang kasih Mak Ngah dan Pak Ngah, kebajikan kami empat beradik dijaga dengan baik oleh mereka sepanjang masa.
“Saya bersyukur kerana tiga adik dapat menerima ketentuan takdir menjadi yatim piatu dan kami pun menjalani hidup serta dalam keadaan gembira menyambut kedatangan Ramadan kali ini,” katanya.
Muhammad Alif Irfan dan Nurin Alya kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri manakala Muhammad Riz di Tadika Kemas, Batu 1 serta Muhammad Amirul Ikhwan bekerja sementara di Gurun selepas selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru baru ini.
Sementara itu, Suzana berkata, dia sedaya-upaya mahu memberikan yang terbaik untuk empat anak saudaranya itu sejak mereka memilih tinggal bersamanya.
“Saya sering tanya apa yang mereka hendak makan ketika berbuka atau bersahur dan telah siap membeli barangan dapur untuk menyediakan juadah bagi menggembirakan mereka.
“Menjaga mereka amat mudah kerana semua anak saudara saya ini tidak cerewet terutama bab makanan selain mendengar kata,” katanya. – UTUSAN










