JKDM Negeri Sembilan tumpaskan sindiket edar rokok putih, minuman keras - Utusan Malaysia

JKDM Negeri Sembilan tumpaskan sindiket edar rokok putih, minuman keras

MOHAMAD Hafiz Ishak (dua dari kanan) menunjukkan minuman keras dan rokok putih yang disita pada sidang akhbar di Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran rokok putih dan minuman keras masing-masing pada 26 Februari dan 1 Mac lalu. 

Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, untuk kes pertama pada 26 Februari lalu itu, sepasukan anggota Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan telah menahan tiga unit kontena di Pelabuhan Klang Utara, Selangor lebih kurang pukul 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pasukan ke atas kontena dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China tersebut pasukan telah menjumpai sejumlah 97,200 tin dan 30,392 botol minuman keras pelbagai jenama dan saiz. 

“Kesemua minuman keras yang dijumpai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, dibaca bersama Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991. Jumlah nilai keseluruhan minuman keras yang disita termasuk cukai adalah dianggarkan sebanyak RM3.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah minuman keras tersebut diseludup dan dipercayai telah dibawa masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah bagi tujuan penjualan di pasaran tempatan dengan harga yang lebih murah.

“Berikutan itu, ketiga-tiga kontena bersama dagangan telah disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 26(1) Akta Zon Bebas 1990 seterusnya dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

“Dua orang disyaki yang merupakan pengimport dan ejen warga tempatan berusia 40an turut ditahan dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, dibaca bersama Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991, Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. 

Sementara itu, bagi kes kedua, Mohammad Hafiz berkata, pada 1 Mac lalu pada pukul lebih kurang 4 petang, dua pasukan anggota Kastam telah menahan lima unit kontena dan dua buah lori di sebuah premis sekitar Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Kastam 1967.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pasukan ke atas semua kontena dan lori tersebut, pasukan menjumpai sejumlah 591,000 paket rokok putih pelbagai jenama, 51,936 tin dan 5,576 botol minuman keras pelbagai jenama. 

“Kesemua rokok putih dan minuman keras yang dijumpai tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967

“Berikutan itu, kesemua kontena dan lori yang mengandungi muatan dagangan telah disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan. Tiga orang disyaki iaitu pemilik premis berusia 50-an dan dua pekerja warga asing turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket adalah dagangan tersebut diseludup dan dipercayai telah dibawa masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah bagi tujuan penjualan di pasaran tempatan dengan harga lebih murah. 

Katanya, jumlah nilai keseluruhan rokok putih dan minuman keras yang disita termasuk cukai adalah dianggarkan sebanyak RM10.2 juta dan merupakan rampasan tertinggi setakat ini. 

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×