Polis siasat dakwaan Datuk cabul isteri rakan - Utusan Malaysia

Polis siasat dakwaan Datuk cabul isteri rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Bekas wakil rakyat bergelar Datuk terpaksa menerima rawatan di sebuah klinik di Terengganu selepas mendakwa menjadi mangsa belasahan rakan kongsi perniagaannya berkaitan isu mencabul dan hutang RM200,000.

Mengikut sumber, kejadian itu berlaku pada 14 Mac lalu apabila rakan perniagaannya itu tiba di Kemaman yang pada mulanya untuk berbincang soal hutangnya kepada mangsa.

Bagaimanapun, difahamkan perbincangan tersebut tidak mencapai kata sepakat sehingga berlaku pergaduhan yang menyebabkan Datuk berusia 51 tahun berkenaan dibelasah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam pertengkaran itu juga, timbul dakwaan bahawa Datuk berkenaan mencabul isteri kepada ahli perniagaan itu sekitar Ogos 2020.

“Kejadian itu didakwa berlaku di rumah ahli perniagaan itu di Ampang, manakala Datuk itu dan isterinya ketika itu didakwa menumpang di rumah tersebut,” kata sumber itu ketik dihubungi Utusan Melayu.

Kata sumber, Datuk berkenaan sudah membuat laporan polis mengenai kejadian dia dibelasah dan polis dikatakan sudah menahan rakan mangsa kelmarin tetapi dibebaskan.

Datuk berkenaan pernah menjadi setiausaha politik kepada seorang meteri besar di Terengganu selain merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Sementara itu, sumber lain di Selangor pula berkata, polis negeri ini menunggu masa sesuai untuk mengambil keterangan Datuk berkenaan yang dituduh mencabul isteri orang.

“Polis Selangor menunggu perkembangan siasatan polis Terengganu mengenai laporan dia dibelasah suami wanita yang menjadi mangsa cabul terlebih dahulu,” kata sumber itu.

Kedua-dua keluarga tersebut saling mengenali malah mereka menjalin kerjasama dalam satu perniagaan.

“Kejadian cabul itu didakwa berlaku pada awal pagi ketika mangsa tidur di ruang tamu rumahnya. Mangsa tersedar daripada tidur selepas dirinya dipegang Datuk yang diberi bilik untuk tidur bersama isterinya,” kata sumber.

Katanya, pada awalnya wanita yang menjadi mangsa cabul dan suaminya tidak membuat laporan polis kerana mendakwa khuatir dengan tindak balas Datuk berkenaan yang dikatakan berpengaruh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini