Jangan diskriminasi produk sawit – Johari

Jangan diskriminasi produk sawit – Johari

JOHARI Abdul Ghani melancarkan Label Baharu Minyak Masak Saji dengan Logo MSPO di AEON Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. – Mingguan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat yang meletakkan label ‘Tanpa Mi­nyak Sawit’ pada produk mereka boleh didenda sehingga RM250,000 mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penggunaan label itu adalah bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit negara.

Menurutnya, undang-undang tersebut memang ada, cuma tidak dilaksanakan lagi.

“Kita akan pergi ke pasar raya yang bawa produk ini. Kalau penguatkuasaan, mereka akan kena serta-merta. Mereka kena tarik atau kena denda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FGV dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Pelancaran Label Baharu Minyak Masak Saji dengan Logo MSPO di AEON Big Wangsa Maju, di sini, semalam.

Pada 2021, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti produk berlabel diskriminasi terhadap minyak sawit di pasaran Malaysia.

Sebanyak 80 daripada 251 premis yang ditinjau di sekitar Lembah Klang, didapati memaparkan produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’.

Pelabelan atau penggunaan label yang bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit itu adalah dilarang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun.

Menurut Johari, pihak­nya juga bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk menahan produk mempunyai label ‘Tanpa Minyak Sawit’ di pintu masuk daripada dibawa masuk ke negara ini.

“Saya nampak produk import yang tiada kena mengena de­ngan kelapa sawit, tetapi pembungkusannya ada label palm oil free,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×