PETALING JAYA: Menjelang Ramadan minggu depan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah kenderaan di semua laluan utama di seluruh negara akan meningkat mendadak terutamanya pada hari bekerja.
PLUS dalam kenyataan memaklumkan,semua pengguna lebuh raya perlu merancang perjalanan bagi mengelak bergerak pada waktu puncak antara pukul 5 hingga 6 petang.
“PLUS akan mengambil beberapa langkah merangkumi persediaan operasi di plaza tol, sepanjang lebuh raya dan kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk pergerakan yang lebih lancar pada waktu kemuncak sepanjang bulan puasa.
“Langkah ini termasuk memastikan semua lorong masuk dan keluar di plaza tol beroperasi sepenuhnya. PLUS juga akan menyediakan alat bantuan mudah alih pembaca pembayaran tol dan alat bantuan sokongan,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, semua kerja penyelenggaraan di plaza tol ditamatkan sebelum pukul 4.30 petang bagi mengelakkan gangguan trafik..
“PLUS akan menambah jumlah kakitangan barisan hadapan di plaza tol serta menugaskan pasukan bantuan teknikal untuk sentiasa bersiap sedia,” katanya.
Oleh itu, PLUS mengingatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) sentiasa mempunyai baki mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
“Ini bagi mengelak kesulitan dan melancarkan perjalanan pengguna lain ketika melalui plaza tol untuk pulang berbuka puasa,” katanya.
Secara alternatif, pengguna boleh mengikuti laporan trafik terkini menerusi aplikasi X @PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, saluran radio utama negara serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih.
Orang ramai turut disaran menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik. – UTUSAN










