MHO mahu syarikat skim pelaburan tipu perumahan didakwa

MHO terima 80 aduan, mahu syarikat skim pelaburan tipu perumahan didakwa

HISHAMUDDIN Hashim (dua dari kanan) menyerahkan borang aduan kes kepada Pegawai Jabatan Peguam Negara Sarawak, Timothy Rangkang (dua dari kiri) di Bangunan Sultan Iskandar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerima 80 aduan berhubung penipuan Skim Pelaburan dan Pakej Pembinaan Hartanah oleh sebuah syarikat.

Susulan itu, MHO bertindak dengan menyerahkan 80 aduan tersebut kepada Jabatan Peguam Negara Sarawak untuk diambil tindakan pendakwaan terhadap syarikat terbabit.

Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, 75 daripada 80 aduan itu melibatkan mangsa dari Sarawak manakala selebihnya dari Semenanjung.

“Tangkapan dibuat dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan pendakwaan harus dilakukan.

“Pengadu-pengadu juga berpuas hati dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari sudut melaksanakan siasatan dengan cepat,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan 80 aduan mangsa kes skim pelaburan dan pakej pembinaan hartanah yang meragukan kepada Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau menambah tujuan serahan aduan itu dibuat adalah kerana syarikat tersebut menawarkan penyelesaian kepada lebih 20 saksi pendakwaan dan cuba memujuk saksi untuk menarik semula laporan.

“Bagaimanapun, syarikat terbabit telah menawarkan penyelesaian kepada saksi pendakwaan di mana mereka memujuk saksi menarik semula laporan polis dan akhirnya diklasifikasikan sebagai melepas tanpa dibebaskan (DNAA). Bila terjadi DNAA, ia jelas tidak adil kepada mangsa,” tambahnya lagi.

Menurut Hishamuddin, pengadu juga telah menawarkan diri untuk menjadi saksi pendakwaan agar dalang penipuan syarikat tersebut didakwa dan dijatuhkan hukuman.

Katanya, perkara itu perlu dibawa ke perhatian Jabatan Peguam kerana mereka tidak mahu ada individu yang bertanggungjawab dilepaskan begitu sahaja.

“Oleh itu, kita menawarkan saksi-saksi yang relevan dengan 80 mangsa yang ada hari ini bagi menyerahkan surat aduan untuk menjadi saksi supaya kes tidak digugurkan, tiada tarik balik laporan dan tiada DNAA. Apa yang kita mahu penipu ini perlu dituduh dan dijatuhkan hukuman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×