Lima wanita jadi tumpuan dunia

Lima wanita jadi tumpuan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Wanita Sedunia tidak hanya meraikan pencapaian wanita, malah dilihat sebagai peringatan bahawa lebih banyak usaha harus dilakukan untuk mencapai kesaksamaan gender.

Laporan Jurang Jantina Global 2023 dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia, mendedahkan kesaksamaan gender sepenuhnya akan mengambil masa selama 131 tahun untuk dicapai berdasarkan kemajuan semasa.

Kesaksamaan gender masih menjadi antara cabaran terbesar hak asasi manusia, walaupun bukti menunjukkan ia mampu meningkatkan ekonomi, taraf hidup masyarakat dan melindungi masa depan negara.

Isu kesaksamaan dan perwakilan amat penting kerana ia bukan sahaja meningkatkan penglibatan wanita dalam politik yang dikaitkan dengan kesaksamaan undang-undang dan peluang ekonomi.

Tetapi turut melambangkan simbol kekuatan kepada wanita dan gadis di seluruh dunia.

Berikut antara wanita yang boleh membawa perubahan pada dunia:

ARANCHA González Laya
ARANCHA González Laya, 54 merupakan Dekan Pusat Pengajian Hal Ehwal Antarabangsa Paris di Sciences Po.

Bekas Menteri Luar Sepanyol ini, memperjuangkan dasar luar yang feminis.

Dalam advokasinya untuk pemerkasaan ekonomi wanita, González merupakan salah seorang pengasas SheTrades.

SheTrades inisiatif yang ditubuhkan untuk memperkasakan wanita melalui integrasi yang lebih besar dalam perdagangan dan pelaburan global.

“Pada akhirnya, apa yang kita mahukan adalah sebuah masyarakat yang lebih mantap,” katanya pada podcast Dialog Agenda di Davos.


Reshma Saujani
SELAKU pengasas pertubuhan bukan keuntungan Girls Who Code dan Moms First, Reshma Saujani mengabdikan kerjayanya untuk mengatasi halangan sistemik dalam memperjuangkan kesaksamaan gender.

Setakat ini, lebih 580,000 pelajar mempelajari pengekodan menerusi pertubuhan itu.

Kini, Girls Who Code berusaha menutup jurang jantina dalam bidang teknologi.

Disember tahun lalu, Moms First melancarkan PaidLeave.ai iaitu chat kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan, membantu ibu bapa dan penjaga di New York untuk mengetahui jumlah cuti berbayar yang mereka layak terima.

Reshma merupakan pengerusi bersama Global Future Council di bawah Forum Ekonomi Dunia.

NARGES Mohammadi
NARGES Mohammadi dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun lalu.

Beliau menerima anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap ‘perjuangannya menentang penindasan wanita di Iran serta mempromosikan hak asasi manusia dan kebebasan untuk semua’.

Narges ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun atas pelbagai tuduhan di Penjara Evin, Teheran.

Wanita itu juga dijatuhi hukuman tambahan selama 15 bulan penahanan dipercayai berpunca daripada hasil kerja hak asasi manusia.

Suaminya, Taghi Rahmani yang merupakan wartawan dan aktivis menggesa para pemimpin dunia untuk memasukkan isu hak wanita dalam mana-mana perjanjian yang dimeterai dengan Iran.


PUTERI Reema Bandar Al-Saud
PUTERI Reema Bandar Al-Saud merupakan wanita pertama dalam sejarah Arab Saudi berkhidmat sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat (AS).

Beliau dilantik sebagai Duta Besar Arab Saudi di AS pada tahun 2019.

Sejak 2017, Puteri Reema berkhidmat sebagai ahli majlis penasihat bagi Inisiatif Kewangan Usahawan Wanita di bawah Bank Dunia.

Program itu bertujuan menangani jurang pembiayaan yang dihadapi usahawan wanita di negaranegara membangun.

Beliau pernah menjadi ahli Suruhanjaya Jantina dan Kesaksamaan di Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa sejak 2018, yang memperjuangkan sukan sebagai ‘kuasa besar’ untuk kemajuan wanita.

Xiye Bastida
XIYE Bastida merupakan aktivis warga Mexico yang memperjuangkan isu perubahan iklim dan alam sekitar.
Bastida juga merupakan ahli komuniti Orang Asli Otomi-Toltec di negara itu.

Wanita berusia 21 tahun itu merupakan pengasas bersama Inisiatif Re-Earth dan salah seorang penganjur
utama Fridays for Future.

Bastida menggunakan platformnya untuk menonjolkan perkaitan krisis iklim.

Januari lalu, Bastida menerusi ucapannya pada Mesyuarat Tahunan ke-54 Forum Ekonomi Dunia di Davos berharap agar generasinya akan menjadi yang terakhir bergantung kepada bahan api fosil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×