PETALING JAYA: Kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan kenyataan bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ disiarkan pada 20 Februari lalu telah dihantar kepada pejabat Peguam Negara (AGC).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut.
“Abdul Hadi telah dirakam percakapan pada Selasa lalu oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan kita telah hantar pada AGC, kelmarin (Rabu) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang menunggu arahan AGC berhubung kes tersebut.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selasa lalu, media melaporkan Abdul Hadi dirakam keterangan pada pukul 2.19 petang di ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut di sini.
Pada 29 Februari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 15 Februari lalu.
Susulan itu, baginda berkenan mengutus surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri.
Surat lima halaman itu antara lain menyebut kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.- UTUSAN










