BANGI: Usanita Sdn. Bhd. (Usanita) menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memperkasakan ekonomi dalam kalangan usahawan wanita dan pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya berhasrat untuk memperkasakan kebolehpasaran wanita dan pelajar dalam sektor keusahawanan dengan melengkapkan mereka menerusi kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam industri.
Bagi tujuan itu, jelasnya, Usanita berkolaborasi dengan UKM dan e-Entrepreneurs Women Association (EWA) yang akan memberi tumpuan dalam aspek pembangunan kemahiran, kebolehan, kreativiti serta inovasi.
“Ia merupakan perkara yang terkandung dalam aspek modal insan serta daya saing yang dilihat penting dalam kejayaan usahawan.
“Kolaborasi itu juga akan memafaatkan lebih ramai usahawan dalam melonjakkan jualan, perniagaan, cetusan idea kreatif dan inovatif dalam industri keusahawanan,” katanya semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Dewan Senat, Canselori UKM, di sini, semalam.
Usanita diwakili oleh Adzliana, manakala UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Datuk Dr. Norazah Mohd Nordin serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Prof. Dr. Aini Aman.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Norazah berharap usahasama ini akan membangunkan kemahiran pelajar yang lebih berkualiti tinggi dan mempunyai minda keusahawanan kelas pertama seterusnya menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran dalam bidang keusahawanan.
“Menerusi kerjasama ini, kita harap minat mereka (pelajar dan usahawan wanita EWA) akan terpupuk dan mereka lebih terdedah dengan peluang kerjaya dalam bidang keusahawanan.
“Kerjasama ini boleh menjadi platform yang sangat baik kepada pelajar bidang keusahawanan kerana dapat menyumbang kepada pembangunan negara bagi mencapai aspirasi menjadi negara keusahawanan unggul menjelang 2030,” jelasnya.
Usanita yang ditubuhkan sejak 2020 adalah badan pemudahcara persendirian di dalam bidang keusahawanan yang menghubungkan usahawan-usahawan terutama golongan B40 dan M40 kepada pihak kementerian, agensi kerajaan dan badan korporat berkaitan.
Badan ini berperanan membantu usahawan daripada aspek ilmu termasuk menerusi seminar, program dan kerjasama sekaligus mewujudkan ekosistem yang sihat untuk mengumpulkan usahawan Malaysia sebagai platform bertukar pandangan sesama mereka.










