KUALA LUMPUR: Bukan sahaja golongan wanita lebih kebelakang berbanding lelaki dalam pekerjaan, jurang pendapatan antara jantina kini makin melebar apabila wanita dapat gaji 33 peratus kurang berbanding lelaki.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati jumlah pendapatan purata bagi wanita hanya RM42,080, berbanding pekerja lelaki yang mendapat RM63,117 bagi tahun 2022.
Ini menyaksikan dalam setiap RM100 diterima oleh lelaki, wanita hanya menerima RM66.67 dan secara purata pendapatan wanita bagi tahun tersebut adalah kurang sebanyak 33.33 peratus.
Ia menandakan jurang gaji antara jantina di dalam negara ini semakin melebar berbanding tahun 2021 iaitu setiap RM100 gaji diterima lelaki, wanita menerima RM96.21 dan ia perbezaan sekitar 3.79 peratus sahaja.
Sekiranya melihat pada anggaran jurang gaji oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia hanya berada di sekitar 20 peratus tetapi negara mencatat lebih lebih 13 peratus.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jurang pendapatan antara jantina bergantung kepada jenis pekerjaan individu itu dilibatkan dan ia tidak bermakna wanita ditindas.
Menurut beliau, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (NUDP) yang digunakan untuk mengira jurang tersebut turut mengambil kira kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) mengikut jantina dalam pengiraan.
“KPTB wanita ketika ini lebih rendah berbanding lelaki. Mengapa ini berlaku? Kerana wanita ini walaupun mereka mempunyai kelayakan yang tinggi tetapi ada sebahagian daripada mereka tidak bekerja.
“Ini kerana naluri wanita lebih kepada kekeluargaan, mereka menjaga orang yang disayangi misalnya anak atau keluarga lebih tua yang memerlukan penjagaan daripada mereka.
“Namun begitu, kalau kita lihat seluruh persekitaran dari segi mereka yang menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), universiti sahaja menyaksikan sampai 60 peratus jumlah wanita berbanding lelaki,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Bangunan Parlimen Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, jumlah wanita yang kini menjadi tenaga buruh adalah 55.8 peratus sahaja berbanding lelaki yang mencapai sebanyak 81.9 peratus peratus.
“Ini kerana golongan wanita mempunyai keutamaan dan perancangan dia sendiri iaitu pada umur tertentu mereka ingin berkahwin serta memiliki keluarganya sendiri.
“Bermakna wanita lebih memberi tumpuan kepada keluarga walaupun tidak ada orang yang menyuruh mereka berbuat demikian tetapi inilah jiwa dan nurani sebagai seorang kaum hawa,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk membantu pekerja wanita yang ingin mendirikan rumah tangga tanpa menjejaskan kerjaya mereka.
“Ini untuk membantu mereka yang mahu berumah tangga supaya wanita tidak menjadikan isu keluarga sebagai satu perkara menghindarkan mereka daripada pergi bekerja,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan kini menyasarkan sebanyak 60 peratus bagi penyertaan tenaga kerja wanita di dalam pasaran dalam jangka masa 10 tahun.
“Itu boleh dijadikan sebagai sasaran tetapi apa yang kita perlu lakukan adalah perlu lihat dari sudut persekitaran tempat kerja supaya golongan wanita yakin untuk kembali bekerja. Ini kerana ada dalam kalangan mereka merasakan tidak selamat seperti terkena gangguan seksual.
“Jadi kita atasi perkara sedemikian melalui pengukuhan undang-undang dan sudah diluluskan iaitu Akta Antigangguan Seksual 2022. Saya agak terkejut kerana memang ramai juga menunggu akta tersebut lulus kerana ia memberi jaminan kepada mereka yang bekerja.
“Selain itu, melalui pindaan Akta Kerja 1955 iaitu dahulu kalau wanita yang bersalin hanya dapat cuti 45 hari dan kini ditingkatkan kepada 98 hari. Malah, suami pula mendapat cuti sebanyak tujuh hari. Ini semua dipercayai membantu meningkatkan keyakinan serta keselesaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy memberitahu bahawa akan ada perkara baik yang menanti golongan ‘Hawa’ dalam sambutan Hari Wanita, hari ini.
“Hasrat (untuk mengumumkan perkara yang memberi kebaikan pada golongan wanita) itu ada tetapi saya tidak tahu apa yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti.
“Memang ada (perkara) yang kita sarankan kepada Perdana Menteri tetapi ada perkara-perkara perlu difikir dan dirancangkan. Maka sebab itu saya bukan orang yang sesuai untuk memaklumkan perkara ini. Perdana Menteri akan merasmikan ia,” ujarnya. – UTUSAN











