Kembalikan GEG dalam Rang Undang-Undang Tembakau

Kembalikan GEG dalam Rang Undang-Undang Tembakau

Harga vape pakai buang yang murah dan boleh dibayar secara ansuran kini menjadi pilihan dalam kalangan pelajar sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengawal dengan lebih ketat promosi dan penjualan vape dan cecair vape dengan segera memandangkan generasi muda baharu perokok dan penghisap vape diwujudkan sejak Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 berkuatkuasa pada November 2023.

Kami amat kecewa kerana kerajaan dan penggubal dasar hanya menyerahkan peluang untuk melindungi kanak-kanak dengan tidak menggunapakai Generasi Penamat (GEG) secara keseluruhan.

Kini tanpa pemantauan dan dengan pelaksanaan undang-undang yang lemah, cecair vape boleh dibeli dengan mudah sama ada dari kedai atau dalam talian. Jika kanak-kanak sekolah boleh mempunyai akses kepada peranti vape, ini menunjukkan bahawa RUU itu tidak berkesan.

Sejak RUU itu diluluskan, kami mendapati produk vape lebih mudah diakses. Terdapat lebih banyak kedai runcit vape yang menjual pelbagai jenis perisa cecair vape dalam pembungkusan menarik.

Kami menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan dengan lebih serius untuk mengembalikan semula nikotin ke dalam Akta Racun.

Satu artikel baru-baru ini mendakwa bahawa nikotin bukanlah penyebab utama penyakit yang berkaitan dengan merokok tetapi tar yang terdapat di dalam asap rokoklah yang merupakan punca penyakit.

Kerajaan tidak sepatutnya menerima maklumat salah yang didorong oleh industri dan penyokongnya untuk mempengaruhi keputusan mengenai langkah kawalan tembakau.

Sebaliknya, kerajaan perlu bergantung pada bukti dan fakta yang menunjukkan bahawa vape adalah punca kerosakan teruk kepada saluran darah, parut kepada paru-paru yang kekal, kabus otak dan sakit kepala selain 1.3 kali lebih berisiko penyakit pernafasan.

Di samping itu, kerajaan perlu mengekalkan zon merokok sedia ada yang berkuat kuasa sejak 2019 dengan perokok mesti berada sekurang-kurangnya 3 meter dari restoran, gerai jalanan dan sebagainya.-UTUSAN

NV SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Kanan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×