KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang beri kerjasama penuh terhadap siasatan polis berhubung kenyataan beliau bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’.
Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pertemuan selama hampir satu jam telah berlangsung antara Abdul Hadi dan dua pegawai polis di Pejabat Agung Pas, di sini, bermula pukul 2.19 petang tadi.
Kata Mohd. Syahir, Abdul Hadi telah dikemukakan beberapa soalan oleh pegawai penyiasat dan memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh itu.
“Soalan diberikan boleh tahan banyak juga, ada beberapa muka surat.
“Abdul Hadi juga sudah baca kenyataan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri (MDN) semalam yang akan wujudkan Pasukan Khas 3R (bangsa, agama dan raja), kita akan beri komitmen sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Syahir berkata, Abdul Hadi kini berada dalam keadaan yang baik dan beliau ada menyatakan hasrat menghadiri Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 namun terhalang atas faktor kesihatan beliau.
“Sehari sebelum itu kesihatan beliau tidak berapa baik, pihak kita ada merujuk kepada doktor dan mereka sarankan belum sesuai untuk beliau melakukan perjalanan jauh.
“Jadi, kita ada maklum kepada Bukit Aman pada hari sama untuk penangguhan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Syahir berkata, Abdul Hadi telah menghantar warkah menjunjung kasih kepada Sultan Selangor semalam.
“Satu warkah menjunjubg kasih telah diutuskan dari tuan guru bertarikh 4 Mac semalam kandungannya itu antara tuan guru dan tuanku sahaja kita hormati,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan, keterangan Abdul Hadi akan dirakam di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pada pukul 2.30 petang ini.
Menurut beliau, pegawai khas kepada pemimpin berkenaan sudah memaklumkan keadaan kesihatan Abdul Hadi kepada polis dan menetapkan keterangan diambil esok.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.
Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada beliau (Abdul Hadi) menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri.
Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi secara sinis mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.
Ianya dianggap tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.











