KUALA LUMPUR: Daripada dijadikan sebagai jentera untuk membangunkan ekonomi negara bagi kepentingan rakyat Malaysia, SRC International Sdn. Bhd. telah menjadi `mangsa’ penipuan berskala besar yang direncana oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Penubuhan SRC International adalah bertujuan ‘untuk menjadi tonggak jangka masa panjang pembangunan ekonomi yang mampan oleh Malaysia untuk rakyat’. Itu merupakan ayat yang diucapkan sendiri oleh defendan pertama, Datuk Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri kita.
“(Bagaimanapun), SRC International telah menjadi jentera buat defendan pertama untuk memanipulasi bagi mendapatkan RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), dana pencen untuk penjawat awam negara untuk mengkayakan dirinya sebanyak AS$120 juta.
“Dalam proses (mengkayakan diri), beliau telah menyebabkan kerugian kepada SRC International dan rakyat terutamanya, sebanyak AS$1.18 bilion. Kerugian yang masih lagi bertambah dan berterusan,” kata peguam Lim Chee Wee.
Peguam yang mewakili SRC International berkata demikian ketika membacakan pernyataan pembukaannya dalam kes tuntutan saman dikemukakan syarikat itu terhadap Najib selaku defendan pertama.
Dalam tuntutan tersebut, enam bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan enam individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.
Enam individu itu ialah Datuk Suboh Md Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar. dan empat bekas pengarahnya yang bermula hari ini.
Perbicaraan tersebut didengar oleh Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Selain itu, Chee Wee berkata, kronologi kejadian dan dokumen akan menunjukkan menunjukkan bagaimana Najib menyalahgunakan peranannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk meneruskan dan mempercepatkan kelulusan yang diperlukan untuk pinjaman yang kemudiannya diberikan oleh KWAP.
Katanya, Najib mempunyai kuasa tertinggi ke atas SRC, akhirnya menyebabkan kemudaratan kepada syarikat yang ditubuhkan dengan mengambil kira kepentingan awam.
“Defendan pertama (Najib) merupakan minda yang mengarahkan segalanya di SRC International dan mengawal segala tindakan SRC International. Beliau terlibat secara sistematik dalam urusan SRC International walaupun tidak mempunyai locus (kuasa) untuk berbuat demikian,”katanya.
Peguam itu turut menyatakan, orang ramai menaruh kepercayaan kepada mereka yang memegang jawatan awam untuk tidak menyalahgunakannya kuasa yang diberikan atau bersikap acuh tak acuh terhadap had kuasa awam itu, dengan pengetahuan penuh bahawa cara mereka bertindak boleh membahayakan institusi yang mereka bersumpah untuk lindungi.
“Pelaburan ini akhirnya adalah untuk rakyat, dengan jangkaan mereka yang berkuasa akan bertindak dengan niat baik bagi manfaat orang ramai. Mereka yang berkuasa mempunyai kewajipan untuk bertindak semata-mata untuk kebaikan rakyat iaitu sebagai penjaga ‘tabung’ negara,”ujar Chee Wee.
Tambahnya, Najib mempunyai kuasa tertinggi ke atas SRC akhirnya menyebabkan kemudaratan kepada syarikat yang ditubuhkan dan penyalahgunaan kuasa ini akhirnya membawa kepada pelbagai kausa tindakan dan tuntutan terhadap Najib.
Pada 7 Mei 2021, SRC International di bawah pengurusan baharu memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar. – UTUSAN










