Kedah, NS tambah baik sistem perundangan Islam

Kedah, NS diminta tambah baik sistem perundangan Islam

SULTAN SALLEHUDDIN SULTAN BADLISHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahu struktur Mahkamah Syariah disemak semula termasuk menambah baik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah agar setanding dengan mahkamah sivil.

Baginda bertitah, Mahkamah Syariah wajib diangkat menjadi institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negara ini.

“Sebagai langkah pemer­kasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di sini, semalam.\\

Memuatkan artikel berkaitan…

MAHKAMAH

Baginda juga mahukan usaha-usaha pemerkasaan itu dapat di­segerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di negeri Kedah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tujuh seksyen yang termaktub di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati menyamai atau hampir menyamai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan.

Selain itu, kesalahan berkaitan pelacuran di bawah Enakmen Ke­salahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati turut menyamai Seksyen 43, Seksyen 44 dan Seksyen 45 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

Susulan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai Penasihat Undang-undang Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri serta beberapa pihak lain dalam usaha mengukuhkan undang-undang syariah negeri berkenaan.

Sementara itu, di Seremban, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003, Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 2024 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) akan dipinda bagi memantapkan lagi pentadbiran Islam di negeri itu.

Titah baginda, usaha tersebut akan turut meluaskan lagi skop dan bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta memudahkan MAINS untuk lebih proaktif dalam memulakan inisiatif baharu.

“Tugas memelihara dan menegakkan syiar Islam di Negeri Sembilan adalah satu usaha kolektif dan semua peringkat kepemimpinan sama ada di negeri mahupun Persekutuan agar dapat bersama-sama memainkan peranan dalam membangunkan umat Islam,’’ titah Tuanku Muhriz pada Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan di sini semalam.

Baginda juga menyeru agar institusi masjid dan surau memainkan peranan dalam menyatukan umat Islam di Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini