KUALA LUMPUR : Buat julung kalinya, pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) dibuka dengan persembahan lagu saduran antarabangsa berbanding edisi sebelum ini yang mengetengahkan lagu tempatan sahaja.
Menerusi persembahan Shila Amzah dan… dua penyanyi itu menyampaikan lagu berjudul Sky Full Of Stars nyanyian asal kumpulan Coldplay dan Hilang Naluri (Dewa19) yang dinyanyikan bersama Vanessa Reynolds.
Persembahan yang turut menampilkan Sissy Iman bersama The Girls Band itu menyaksikan dua penyanyi itu mendendangkan lagu Jangan Khianati Aku (Azlan dan The Typewriters) sebagai penutup.
Selain Shila dan Vanessa, pengacara AJL edisi ke-38, Sherry Al Hadad membuka tirai pentas kejuaraan berprestij dengan lagu Single Ladies (nyanyian asal Beyonce).
Persembahan mereka turut diiringi dengan pasukan pancaragam, penari dan pemuzik wanita yang dipercayai mengangkat perempuan sebagai antara tunggak utama industri seni muzik tempatan.
Bagaimanapun, pemilihan dua lagu antarabangsa itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warganet dan penonton memandangkan AJL merupakan pentas berprestij yang memartabatkan karya-karya tempatan.
“Ini anugerah negara mana kenapa setlist opening act mula dengan lagu Inggeris, lagu Indonesia pastu baru lagu tanah air?
“Korang pilih Jangan Khianati Aku itu pun sebab lagu itu tengah sohor kini dan tular sebab di negara seberang ada peserta program tv nyanyi sedap nak gila kan?” tulis Zuhairah Zamri @zhrhzmr.
Sebelum ini, edisi AJL seringkali menampilkan artis tempatan menerusi pelbagai segmen seperti tribute juara-juara terdahulu dan pelbagai konsep lain sebagai penyeri dan pembuka tirai.








