HULU TERENGGANU: Penduduk di Kampung Payang Kayu, dekat sini masih menggunakan air bukit yang sejuk dan segar untuk menampung keperluan harian walaupun mendapat bekalan air bersih daripada Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU).
Malah, penduduk mewujudkan ‘Team Waterfries Payang Kayu’ (TWPK) yang bertindak sebagai sukarelawan memastikan bekalan air bukit terus dapat dimanfaatkan sejak 10 tahun lalu.
Jurucakap TWPK, Mustaffa Taib, 58, berkata, sumber air bukit tersebut diperoleh dari Bukit Tinggi yang mampu menampung penggunaan penduduk di kampung itu walaupun musim kemarau.
“Sebelum adanya bekalan air bersih SATU di kampung ini sekitar tahun 1980-an, penduduk di sini menggunakan air bukit yang turut dipercayai mempunyai khasiat untuk kegunaan harian.
“Penggunaan ini kekal sehingga kini dan sebanyak 70 buah rumah daripada 90 kediaman penduduk masih menggunakan air bukit, selain air bekalan air daripada SATU,” katanya ketika ditemui dalam program gotong-royong membersih dan baik pulih saluran paip air bukit, di sini semalam.
Mustaffa berkata, kira-kira 50 penduduk termasuk ahli jawatankuasa TWPK menyertai gotong-royong tersebut bagi melancarkan bekalan air bukit ekoran kesan musim tengkujuh baru-baru ini.
Katanya lagi, kerja-kerja membersih dan membaik pulih saluran paip tersebut juga sebagai persiapan awal menghadapi musim kemarau. – UTUSAN











