'Kecil, tapi itu sahaja yang mampu'

‘Kecil, tapi itu sahaja yang mampu’

SAIZ kediaman semakin kecil namun harganya semakin meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAIZ kediaman bukan sahaja faktor utama yang mendorong pembeli untuk memilih sebuah hartanah itu, tetapi harga yang kompetitif serta lokasi yang strategik lebih menarik minat pembeli.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa pengecilan saiz unit kediaman tidak memberi kesan besar dalam jualan hartanah yang berada di lokasi strategik di bandar utama.

Ini bukan kerana pembeli tidak mahu kediaman dengan ukuran kaki persegi yang lebih luas, tetapi itulah pilihan yang mereka ada tatkala pemaju membina unit yang lebih kecil.

Seorang pekerja swasta, Noor Hidayah Tanzizi, 36, berkata, dia membeli pangsapuri baharu bersaiz 800 kaki persegi pada harga RM295,000 di Kajang pada tahun lalu.

Katanya, itu adalah pilihan murah yang ditawarkan selain unit bersaiz 750 kaki persegi di projek sama.

Menurutnya, pembangunan tersebut juga menjadi pilihan kerana lokasinya yang agak strategik kerana berhampiran dengan stesen komuter dan Mass Rapid Transit (MRT) Kajang.

“Saya belum berkahwin, jadi untuk tinggal seorang diri, saiz tersebut sudah mencukupi dan berbaloi bagi saya.

“Bagaimanapun, bagi yang berkeluarga saiz rumah yang semakin mengecil pasti akan menjadikan ruang dalam kediaman tersebut agak padat dan tidak selesa terutamanya mereka yang mempunyai anak yang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Dia mengakui, kediaman terutamanya rumah mampu milik yang ditawarkan di pasaran semakin mengecil berbanding beberapa tahun lalu.

“Tiga empat tahun lepas, kawan ada beli rumah pada harga yang sama dengan saya tetapi ukuran kaki perseginya lebih besar berbanding rumah yang saya beli tahun lepas.

“Tidak mustahil, pasaran hartanah di negara ini boleh menjadi seperti negara-negara yang mempunyai ‘nano apartment’ yang hanya boleh didiami oleh seorang sahaja pada masa depan. Kalau jual saiz kecil, mungkin harga rumah pun kena lebih rendah,” ujarnya.

Sementara itu, Nor Azrin Ramli, 36, berkata, pemaju dilihat menawarkan saiz rumah yang semakin mengecil berbanding beberapa tahun yang lalu.

Pekerja swasta tersebut membeli rumah bersaiz 650 kaki persegi kerana harga kediaman tersebut berada dalam linkungan kemampuannya.

“Selain daripada harga yang saya mampu, saya memilih kediaman tersebut kerana kawasannya yang juga strategik,” ujarnya.

Dia mengakui bahawa unit kediaman yang lebih kecil boleh mendatangkan rasa kurang selasa kepada penghuninya.

“Ini terutamanya bagi keluarga semakin berkembang dan mempunyai beberapa anak atau generasi,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×