Raja Norway keluar dari hospital 

Raja Norway keluar dari hospital Langkawi

AMBULANS dan kenderaan rasmi Kedutaan Diraja Norway meninggalkan HSM dan menuju ke LTAL di Padang Matsirat, Langkawi. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Raja Norway, Raja Harald V yang dirawat di Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini sejak Selasa lalu dilaporkan telah pulang dengan pesawat Scandinavian Airlines tengah hari ini.

Tinjauan di hadapan HSM mendapati, baginda meninggalkan pekarangan hospital pada 12.25 tengah hari menaiki ambulans dan kenderaan rasmi Kedutaan Diraja Norway bersama polis pengiring.

Kenderaan polis juga dilihat berkawal di sepanjang Jalan Padang Matsirat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).

Memuatkan artikel berkaitan…

Rombongan pengiring tersebut dilihat memasuki Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sebelum terus ke landasan kapal terbang.

Dua buah jentera Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) juga diletakkan di bahagian belakang dan kanan pesawat tersebut dipercayai bagi tujuan keselamatan.

Pesawat pemindahan perubatan (Medevac) tersebut berlepas meninggalkan LTAL pada 1.03 petang.

Terdahulu, sumber memaklumkan pesawat khas yang akan membawa pulang Raja Harald V tiba di LTAL pada kelmarin.

Semalam, media antarabangsa melaporkan prosedur memasang alat perentak jantung dilakukan kepada baginda berjaya.Baginda dilaporkan mengalami gangguan ritma jantung yang memerlukan prosedur itu dilakukan.

Raja tertua Eropah itu dirawat di Malaysia kerana mengalami jangkitan semasa lawatan peribadinya ke sini dan sepanjang ketiadaannya, tugas baginda dipangku oleh Putera Mahkota Haakon. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini