PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim berpandangan Melayu tidak perlu bimbang dengan pendedahan mengenai hanya satu syarikat bumiputera daripada 97 yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu.
Menurut Zaid, Melayu umumnya telah menguasai segala-galanya dan mempunyai kerajaan bumiputera, Petronas termasuk bank terbesar adalah bumiputera.
“Kepada orang Melayu, sila bertenang. Pemimpin kita melakukan segala-galanya untuk kita, semua perkara duniawi dan tiada kumpulan di dunia ini yang seberuntung bumiputera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan hanya satu syarikat bumiputera daripada 97 syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun dengan mempunyai majoriti saham.
Pendedahan itu dibuat Pengerusi Bursa Malaysia, Wahid Omar yang melahirkan kebimbangan kerana laporan itu mencerminkan penyertaan sebenar bumiputera dalam sektor perniagaan.
Dalam pada itu, Zaid berkata, biarkan ‘promoter’ Cina mendapat perhatian dan menjadi pemilik syarikat yang tersenarai.
“Lagipun, siapa tahu di sebalik senarai pemilikan benefisial itu, terdapat kaitan dengan kepentingan lain dalam dunia korporat bawah tanah negara? Tak ada yang mustahil,” jelasnya.
Menurut Zaid, kenyataan Pengerusi Bursa Malalaysia boleh difahami.
“Maklumlah, seorang pemimpin Melayu, apabila mewakili atau berucap di kongres bumiputera, mesti menyampaikan ucapan yang sewajarnya kepada hadirin yang datang dari jauh untuk mendengar bagaimana mereka boleh diselamatkan.
“Anda perlu cemas dan mengambil berat tentang masa depan yang suram, dan anda perlu dilihat sebagai penyelamat,” katanya. – UTUSAN







