SEORANG wanita dari Amerika Syarikat (AS) masih mengekalkan gelaran Rekod Dunia Guinness apabila memiliki koleksi barang berkaitan ikan duyung yang terbesar di dunia.
Laurie Koller dari New York dilaporkan mempunyai sebanyak 726 barang berkaitan ikan duyung setakat 15 Oktober 2015.
Namun, wanita itu kini percaya sudah memiliki ribuan koleksi barang duyung yang disimpan di rumah.
Koller mula mengumpul koleksi berkenaan ketika berusia 18 tahun.

Segalanya bermula selepas tertarik dengan rantai ikan duyung yang dibeli di sebuah pameran Renaissance.
Bagaimanapun, Koller memberitahu dua hiasan dinding bercorak duyung milik nenek yang memberinya inspirasi untuk mengumpul semua barangan itu.
“Bermula dari situ tercetusnya minat untuk kumpul lebih banyak koleksi ikan duyung.
“Saya tertarik dengan hiasan dinding di rumahnya sejak bertahun lamanya. Setiap kali melihatnya, saya terkenang nenek saya,” katanya.
Sepanjang tempoh 37 tahun, Koller mengumpul pelbagai koleksi barang berkaitan duyung termasuk permaidani, patung mainan, pakaian, teko dan banyak lagi.
Wanita itu juga dikatakan mempunyai patung ikan duyung saiz sebenar yang diperbuat daripada mannequin vintaj.
Koller memaklumkan dia menyusun koleksi barangannya mengikut persamaan.
Misalnya, Koller gemar mempamerkan semua koleksi anak patungnya di ruang berasingan di kediamannya.
“Saya mempunyai sejumlah besar anak patung Barbie, patung mainan kain dan patung buatan sendiri,” katanya.
Jelas Koller, barang paling berharga disimpan di dalam kotak pameran agar ia tidak pecah atau rosak kerana hampir semua koleksi itu diperbuat daripada porselin, seramik, kaca dan kristal.
“Barang duyung paling berharga merupakan koleksi vintaj dari tahun 1950-an.
“Saya juga memiliki patung Lladro dan barang kaca buatan tangan yang begitu cantik termasuk duyung kristal Swarovski,” katanya.
Menurut Koller, kebanyakan koleksi barang duyung sudah bertahun lama, menjadikannya jarang dijumpai dan sukar diperoleh lagi.
Katanya, dia begitu obses sehingga sering mencari barang baharu berkaitan duyung.
Malah, dia mengakui kerap menyemak laman jualan dalam talian untuk membeli barang duyung vintaj yang unik.

Sementara itu, Koller menyifatkan semua koleksi duyung kepunyaannya adalah sangat berharga.
Ketika ditanya jumlah barang dimilikinya setakat ini, Koller tidak dapat memberikan angka yang tepat.
Ia secara tidak langsung mendorong wanita itu mula mengira, merakam gambar dan mendokumentasi koleksinya.
Sebelum ini, Koller dalam temu bual memberitahu dia berasa amat gembira kerana dianugerahkan pengiktirafan Rekod Dunia Guinness.
Walaupun Koller seolah-olah tidak cuba mencapai sebarang gelaran rekod lain, namun wanita itu dikatakan sedang berusaha untuk mengekalkan gelaran semasanya. Koller percaya dia kini mempunyai lebih 1,500 barangan berkaitan ikan duyung. – AGENSI










