PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan satu siasatan dijalankan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.
Menurut beliau, siasatan terhadap Abdul Hadi dilakukan di bawah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kata beliau, keterangan Abdul Hadi bagaimanapun masih belum diambil pihak polis atas faktor kesihatan.
“Kita (polis) telah buka kertas siasatan membabitkan kenyataan dikeluarkan beliau dan masih menunggu waktu yang sesuai untuk panggil dan ambil keterangan Abdul Hadi.
“Presiden Pas itu ketika ini tidak begitu baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan semalam memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.
Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada beliau (Abdul Hadi) menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri.
Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi secara sinis mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.
BERADAD
Ia dianggap tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.
Kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.
Sultan Selangor pada 15 Februari bertitah sempena Mesyuarat MKI ke-71 di Putrajaya mengingatkan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi rakyat Malaysia.
Baginda bertitah, paling penting usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah. – UTUSAN










