PETALING JAYA: Dua ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri sah digugurkan daripada program Road to Gold (RTG) selepas gagal menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, biarpun digugurkan daripada program RTG, Pandalela dan Dhabitah masih kekal berada dalam Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai atlet elit negara.
“Pandelela dan Dhabitah telah melakukan yang terbaik untuk membanggakan negara sepanjang tahun tetapi malangnya, di sebalik usaha terbaik mereka, kedua-duanya tidak berjaya mara ke Sukan Olimpik Paris.
“Tetapan kriteria program RTG yang jelas, jawatankuasa telah membuat keputusan untuk mengeluarkan Pandelela Dhabitah daripada program RTG. Bagaimanapun, kedua-duanya akan terus berada dalam Program Podium.
“Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan kedua-dua atlet ini menerima semua sokongan yang diperlukan,” katanya.
Pada Kejohanan Akuatik Dunia baru-baru ini di Doha, Qatar kedua-dua penerjun negara itu beraksi di bawah par apabila gagal untuk menempah slot ke Sukan Olimpik Paris dalam acara masing-masing.
Menurut Stuart, dengan penyingkiran Pandelela dan Dhabitah, alatan latihan yang dibiayai oleh RTG seperti platform latihan gim kering baharu (5m), pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu yang diluluskan FINA akan menjadi pelaburan jangka panjang.
Dalam perkembangan lain, Stuart mengumumkan, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi penerjun tunggal Malaysia di Sukan Olimpik Paris disenaraikan ke dalam program RTG dan juga program baharu yang dinamakan Program Fast-Track.
“MSN telah memulakan Program Fast-Track dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik LA 2028.
“Setakat ini, dua sukan tersenarai dalam Program Fast-Track iaitu terjun dan skuasy. Kriteria untuk berada dalam ini ialah berada di kedudukan 20 terbaik dunia selain beberapa kriteria lain,” katanya.
Atlet lain yang tersedia dalam Program Fast-Track ialah Enrique Harold (terjun) dan empat atlet skuasy, Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aira Azman dan kakaknya, Aifa Azman. – UTUSAN











