PETALING JAYA: Untung bersih EP Manufacturing Berhad (EPMB) pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023), melonjak lebih daripada 50 kali ganda kepada RM20.22 juta daripada RM0.40 juta tahun sebelumnya, tertinggi sejak 2014.
Pendapatan yang dicatat melepasi RM600 juta untuk pertama kalinya, dibantu oleh permintaan kukuh untuk produk Kumpulan.
Hasil Kumpulan ialah RM648.00 juta, 25.5 peratus lebih tinggi tahun ke tahun (y-o-y).
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4Q TK2023), EPMB melaporkan hasil sebanyak RM199.64 juta, tertinggi dalam sejarah dan peningkatan 26.0 peratus daripada RM158.38 juta pada suku sebelumnya (3Q TK2023).
“Pertumbuhan hasil terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jualan alat ganti automotif. Selaras dengan peningkatan hasil, keuntungan bersih ialah RM2.94 juta, 617.1 peratus lebih tinggi daripada RM0.41 juta pada 3Q TK2023,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, keputusan yang lebih baik mencerminkan hasil positif daripada langkah transformasi yang dimulakan pada awal 2023, iaitu memfokuskan pada operasi dan pengoptimuman kos.
“Melangkah ke hadapan, kami akan terus mengukuhkan perniagaan teras kami dan pada masa yang sama, mengejar peluang pasaran baharu dengan potensi pertumbuhan yang besar,” katanya.
Beliau berkata, 2024 dijangka menjadi tahun yang menarik bagi Kumpulan kerana akan memulakan pembinaan kilang pemasangan kenderaan baharu di Melaka.
“Kami akan mengeluarkan dan memasang model kenderaan untuk BAIC International Development Co., Ltd (BAIC), dan Great Wall Motor Sales Malaysia (GWM).
“Bekerjasama dengan pembuat kereta terkemuka akan membantu kami membina kesedaran, penjenamaan, kredibiliti dan keyakinan di seluruh industri. Saya percaya ini akan membuka peluang pertumbuhan yang lebih besar untuk EPMB, walaupun kami terus meningkatkan rantaian nilai sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030,” katanya. – UTUSAN









