Duopharma Biotech, Owen Mumford jalin kerjasama

Duopharma Biotech, Owen Mumford jalin kerjasama

MAJLIS menandatangani perjanjian persefahaman antara Duopharma Biotech dan Owen Mumford di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD AMARULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri alatan perubatan mencatatkan pelaburan berjumlah RM807.6 juta bagi sembilan bulan pertama 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, pelaburan yang besar ini bukan sahaja mempercepatkan pengembangan pertumbuhan industri tetapi juga meletakkan asas bagi penjanaan lebih 1,363 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat di negara ini.

Katanya, pelaburan domestik menyumbang lebih dua pertiga pada 73.7 peratus daripada jumlah ini, manakala, baki 26.3 peratus daripada sumber asing.

“Sektor alatan perubatan diberi keutamaan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di mana visi ini adalah untuk mengubah Malaysia menjadi hab pembuatan yang dipacu inovasi.

“Ia sekali gus menekankan pembinaan kapasiti alatan perubatan dan industri farmaseutikal, dengan memanfaatkan inovasi dan bakat berkemahiran tinggi untuk memacu agenda ekonomi yang kompleks,” kata­nya dalam ucapan dalam Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) dan Owen Mumford Sdn. Bhd. di sini, semalam.

MoU ditandatangani oleh Pe­ngarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar dan Pengarah Owen Mumford, Adam Mumford.

Dalam pada itu, Leonard Ariff berkata, Duopharma Biotech mela­lui anak syarikatnya Duopharma Marketing Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian pengedaran eksklusif dengan anak syarikat Owen Mumford untuk pengedaran peranti perubatan di Malaysia, Singapura, dan Brunei.

Duopharma Biotech akan mengedarkan rangkaian produk penjagaan diabetes dan penjaga­an mata dikeluarkan oleh syarikat itu.

Owen Mumford diasaskan di United Kingdom pada 1952, dan merupakan perintis dalam inovasi reka bentuk perubatan yang merevolusikan penjagaan diabetes dengan pen penyuntik pertama.

Kini, Owen Mumford mempunyai portfolio produk yang meluas merangkumi penjagaan diabetes, pengumpulan darah dan spesimen pesakit, ujian titik penjagaan, penyaringan neuropati, penjagaan oftalmologi dan penjagaan kesihatan seksual.

Melalui perjanjian itu, Duopharma Biotech menjangka menjana sebanyak 25 peratus daripada jumlah pasaran nilai jarum semasa.

“Jumlah pasaran bagi jarum itu sendiri adalah dalam lingkungan antara RM20 hingga 25 juta. Kami berharap untuk meningkatkan secepat mungkin. Kami juga mempunyai bilangan perincian perubatan terbesar di negara ini dan kadar penembusan kami di farmasi dan hospital adalah yang tertinggi dalam industri,” katanya.

Mengulas kelemahan ringgit ketika ini, Leonard Ariff berkata, penyusutan ringgit akan memberi kesan kerana 70 peratus hingga 75 peratus bahan mentah adalah diimport.

“Duopharma juga mempunyai komponen eksport dan produk tersebut dijual dalam dolar AS. Jadi, ia bertindak sebagai halangan semula jadi. Bagaimanapun, komponen eksport keseluruhan perniagaan kami di Malaysia pada masa ini hanya kira-kira 10 peratus.

“Salah satu strategi Duopharma ialah cuba masuk ke pasaran eksport dengan lebih ketara dan terpakai, bukan sahaja untuk produk yang kami keluarkan tetapi juga di bawah perjanjian ini, lebih luas sedikit daripada hanya Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×