TDM catat pendapatan RM594.32 juta

TDM catat pendapatan RM594.32 juta

TENGKU FAROK HUSSIN TENGKU ABDUL JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, TDM Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM594.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ia adalah penurunan tiga peratus berbanding hasil pendapatan yang direkodkan pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM614.37 juta.

Pengerusi TDM, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pendapatan daripada bahagian perladangan pada tahun 2023 ialah RM261.56 juta iaitu merosot 22 peratus berbanding RM335.35 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, pendapatan daripada bahagian penjagaan kesihatan pula mencatat peningkatan sebanyak 19 peratus iaitu RM332.76 juta berbanding RM279.01 juta pada tahun 2022.

“Kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM116.78 juta iaitu penurunan 13 peratus berbanding RM134.06 juta yang direkodkan bagi tahun 2022,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, pendapatan kumpulan untuk tempoh tiga bulan yang berakhir pada 31 Disember 2023 bagaimanapun terus meningkat sebanyak lapan peratus berbanding suku sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan itu  disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada bahagian penjagaan kesihatan sebanyak RM14.1 juta atau peningkatan sebanyak 18 peratus.

“Bagi Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) pula, TDM telah mencatatkan sebanyak RM24.2 juta dalam suku tersebut, iaitu penurunan sebanyak RM2.8 juta berbanding PBT sebanyak RM27 juta dalam suku tahun sebelumnya.

“Bagi keseluruhan tahun 2023, kumpulan telah mencatatkan PBT sebanyak RM15 juta, menurun 59 peratus berbanding RM36.2 juta bagi tahun 2022,” katanya.

Tambahnya, bagi suku keempat 2023, bahagian penjagaan kesihatan terus menunjukkan prestasi yang kukuh dengan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak 18 peratus, dari RM79.6 juta melonjak kepada RM93.7 juta.

“Terdapat juga peningkatan PBT dan EBITDA dalam bahagian penjagaan kesihatan masing-masing sebanyak 58 peratus dan 42 peratus bagi tempoh tersebut.

“Ia didorong oleh peningkatan kadar penghunian katil sebanyak  65 peratus kepada 72 peratus.

“Selain itu, peningkatan bilangan pesakit dirawat serta purata hasil bagi setiap pesakit dalam masing-masing juga meningkat sebanyak lapan peratus dan 11 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×