Kadar kelahiran rendah, siapa mahu peduli?

Kadar kelahiran rendah, siapa mahu peduli?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah kadar kelahiran rakyat Malaysia rendah sehingga tidak menampakkan tanda untuk mencapai sasaran 70 juta penduduk mencetuskan banyak jenaka berbanding untuk sama-sama membantu kerajaan merancakkan kelahiran.

Antara komen-komen mempersendakan seperti apa kita kisah, kenapa kita perlu bersungguh, tidak perlu anak ramai tapi pentingkan kualiti kerana kehidupan dunia tanpa sempadan kini memerlukan kualiti.

Jika beranak sahaja ramai tetapi akhirnya tidak menjadi siapa susah, ibu bapa yang melahir dan membesarkan juga menanggung akibat. Pihak ketiga termasuk yang bersungguh mahu menambah jumlah penduduk tidak banyak boleh membantu akan nasib malang pasangan yang melahir dan membesarkan anak-anak yang tidak menjadi.

Malah lebih nakal ada yang memberi komen, bercakap bab dasar memang sedap tetapi tahun-tahun kebelakangan ini, mana ada kerja atau jika ada kerja sekalipun gaji tidak setimpal dengan menanggung kos hantar anak belajar tinggi-tinggi.

Susulan itu, ramai mencadangkan kerajaan membetulkan terlebih dahulu ekonomi negara lebih-lebih lagi melihat kepada prestasi ringgit yang terus kritikal. Minggu lalu kecoh mengenai kemerosotan ringgit menghampiri paras terendah iaitu 4.795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) seperti sewaktu kemuncak Krisis Kewangan Asia 1998.

Ramai juga terasa tukaran ringgit dengan baht Thailand semakin susut iaitu RM1: 7.51 baht manakala Singapura yang sedang menarik rakyat Malaysia mencari rezeki di kota Si­nga dengan nilai 1SGD kini sekitar RM3.55. Jadi, ramai yang bertanya apa nak jadi dengan ekonomi Malaysia. walaupun KWSP bakal mengumumkan dividen dengan pakar meramalkan lebih tinggi namun yang faham nilai ringgit tidak teruja kerana mengetahui nilai simpanan pencarum juga ‘susut’ nilai.

Kedudukan ringgit terus menggusarkan apabila Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sendiri mengakui prestasi ringgit masa ini tidak mencerminkan ‘prospek positif’ ekonomi Malaysia di masa akan datang.

Jadi di tengah-tengah kemelut ringgit dan ekonomi tidak positif menyebabkan isu-isu seperti kadar kelahiran atau sudahkah anda mendaftar PADU tidak penting. Yang paling pen­ting bagaimana rakyat mahu memastikan setiap hari masih tersedia makanan di atas meja untuk isi rumah.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sendiri mengakui pasangan Malaysia ketika ini hanya mampu untuk mempu­nyai antara dua atau tiga orang anak sahaja.

Lapor Nancy untuk memiliki anak lebih ramai ekonomi sesebuah keluarga kena sepadan dan ungkapan ‘anak adalah rezeki’ tidak lagi relevan kerana ibu bapa yang ada anak ramai terpaksa berjuang membesarkan generasi akan datang.

Malaysia yang merekodkan kadar kelahiran terendah dalam tempoh lima dekad dan penurunan berterusan sejak 50 tahun lalu diramal akan berterusan sehinggalah kesuraman ekonomi negara pulih dan rakyat kembali sejahtera dari aspek kewangan.

Data sama turut membuktikan bahawa kadar kesuburan pasangan Malaysia turut menurun dari­pada 6.7 kanak-kanak bagi setiap wanita pada 1957 kepada empat pada 1980, tiga pada 2000 dan 2.1 pada 2010 dan ketika ini mungkin terus merosot. Justeru, jika isu-isu sekeliling terutama melibatkan ekonomi keluarga tidak berubah, sampai bila-bila pun cita-cita kerajaan untuk mencapai saiz penduduk 70 juta untuk dijadikan asas permintaan dan pasaran ekonomi kukuh tidak akan menjadi. – UTUSAN

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia