Operasi LNG bunkering PTP berjaya

Operasi LNG bunkering PTP berjaya

OPERASI kapal kontena besar LNG di PTP melibatkan syarikat perkapalan gergasi Perancis, CMA CGM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP), usahasama antara MMC Group dan Terminal APM, mengumumkan satu lagi pencapaian penting dengan kejayaan menyiap­kan operasi bunker Gas Asli Cecair (LNG) pertamanya.

Acara penting itu melibatkan CMA CGM Monaco, sebuah kapal kontena berkapasiti 14,024 bersamaan 20 kaki (TEU) yang dikendalikan oleh gergasi perkapalan Perancis, CMA CGM.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian terbaharu ini me­nunjukkan komitmen PTP untuk terus meningkatkan kelebihan daya saingnya dalam pasaran global yang semakin kompetitif.

Katanya, kejayaan menyiap­kan operasi bunker LNG pertama tersebut juga menggariskan komitmen Kumpulan yang tidak berbelah bahagi terhadap kelestarian dan kepimpinan alam sekitar.

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Petronas Trading Corporation Sendirian Berhad (PETCO) dan CMA CGM dalam inisiatif ini dan mempamerkan keupayaan PTP sebagai pemudah cara utama operasi maritim yang bersih dan cekap.

“Pencapaian ini membuka jalan untuk pertumbuhan selanjutnya dalam bunkering LNG di PTP, menyumbang dengan ke­tara kepada penyahkarbonan industri maritim,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman pula berkata, pencapaian terbaharu itu menyerlahkan lagi kedudukan PTP sebagai terminal hab pemindahan penghantaran terbesar di Malaysia.

“Sebagai persediaan untuk operasi bunkering LNG, PTP bekerjasama rapat sejak Mac 2022 dengan PETCO dan CMA CGM, serta pelbagai agensi kerajaan lain yang berkaitan untuk menganjurkan table-top exercises (TTX) dan bengkel, sebelum melaksanakan latihan pe­nempatan.

“Kejayaan operasi bunkering adalah hasil kerjasama lancar dan persediaan yang melibatkan prosedur keselamatan yang ketat melalui penilaian operasi dan risiko yang mendalam, pemodelan dan pengesahan.

“Kami berterima kasih kepada PETCO, CMA CGM dan semua pihak lain yang terlibat atas usaha bersama mereka dalam me­ngendalikan keupayaan bunkering dan kami mengalu-alukan rakan kongsi untuk bekerjasama dengan kami untuk mempercepatkan penyahkarbonan ma­ritim,” ujarnya.

PTP adalah hab pemindahan penghantaran terbesar di Malaysia dengan kapasiti untuk me­ngendalikan 13 juta TEU setiap tahun dan berada di kedudukan ke-15 antara pelabuhan kontena terkemuka dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×