Mencari sesuap nasi dengan melakukan pelbagai aktiviti seni bukan lagi suatu yang asing bagi golongan artis khususnya penyanyi .
Meskipun pernah popular dengan hasil nyanyian menerusi persembahan pentas dan rakaman album, turun ke jalanan membuat persembahan kini sudah menjadi aktiviti yang lazim
Dua artis tempatan umpamanya aktif membuat persembahan jalanan atau busking bagi mencari sesuap nasi meskipun stamina atau kekuatan tidak lagi mengizinkan lantaran dek penyakit yang ditanggung
Ini yang berlaku kepada Roy Alwi atau Roy yang sebelum ini popular dengan lagu Ratnaku dan dendangan lagu lagu patriotik tetapi kimi seolah-olah semakin terpinggir.
Penyakit kencing manis, darah tinggi dan eczema bukan alasan kepada penyanyi, Roy Alwi, 59, untuk terus mencari pendapatan dengan membuat persembahan sebagai penyanyi jalanan atau buskers.
Roy atau nama penuhnya Mohamad Rauzan Alwi yang juga masih mengalami kesakitan akibat patah tulang bahu memaklumkan tidak mempunyai pilihan selain terpaksa bekerja untuk menyara keluarga dan menanggung kos ubat-ubatan yang mencecah ratusan ringgit sebulan.

“Saya akui memang mencabar, terpaksa juga pergi menyanyi di jalanan enam hari seminggu, lapan jam sehari dalam keadaan kaki yang masih sakit dan selalu bengkak. Stamina yang terjejas akibat jangkitan Covid-19 yang saya alami sebelum ini juga lebih menyukarkan keadaan.
“Busking adalah sumber kewangan saya. Kalau berhenti, pendapatan terjejas. Jadi saya kena teruskan, menyanyi selama lapan jam di jalanan demi sesuap nasi dan mengumpul wang untuk biaya kos perubatan.
“Kerja menyanyi di jalanan ini pula tidak menjanjikan pendapatan tetap. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau ada orang nak bagi (duit), adalah pendapatan saya.
“Saya tak sihat macam dulu. Ada masa tapak kaki terlampau sakit sampai susah untuk bangun kerana luka yang makan masa untuk sembuh. Tapi saya gagahkan juga pergi menyanyi,” katanya.
Ditanya tentang kos rawatan, Roy memaklumkan perlu memperuntukkan antara RM500 hingga RM600 sebulan untuk membeli ubat-ubatan bagi merawat penyakit dialaminya.
“Itu pun selepas saya kurangkan pengambilan (ubat), hanya ambil yang penting sahaja.
“Boleh kata dalam sebulan saya perlu ambil empat jenis ubat termasuk untuk penyakit darah tinggi, kolesterol dan kencing manis.
“Kalau ikutkan, memang terbeban untuk tanggung kos sebanyak itu kerana saya tiada pendapatan tetap. Tetapi saya tak banyak pilihan,” kongsinya.
Tambahnya, masalah kewangan yang dihadapi juga adakalanya memaksanya untuk berlapar dan menggunakan wang yang ada untuk perkara lebih penting.
“Saya bukan orang senang. Kebanyakan masa kena ikat perut dan belanjakan wang untuk keperluan pergi menyanyi seperti petrol dan sebagainya.
“Kebanyakan masa saya terpaksa menyewa hotel budget disebabkan tempat saya menyanyi iaitu Aeon Mall Setiawangsa agak jauh dengan rumah saya di Banting,” katanya lagi.
Bagi penyanyi Sabah, Abu Bakar Ellah, biarpun ada sindiran yang menyatakan ‘bikin malu menyanyi siring (tepi) jalan’ namun, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat penyanyi veteran tempatan, Abu Bakar Ellah, 65, untuk terus menghiburkan orang ramai.
Mungkin bagi sesetengah orang, busking di tepi jalan itu sesuatu yang memalukan tapi, sebagai anak seni, perkara sebegitu bukan sesuatu yang harus dimalukan.
Katanya, mungkin ada yang beranggapan bahawa dia melakukan aktiviti busking demi tuntutan hidup sebenarnya bukan sebab itu, dia menyanyi kerana ingin terus menjadi penghibur.
Penyanyi dan komposer muzik yang cukup dikenali di Sabah itu berkata, dia rasa bersyukur kerana isteri dan anak-anak tidak pernah melarangnya untuk terus menghiburkan orang ramai melalui aktiviti busking.
“Isteri dan anak-anak cukup mengenali siapa saya sebab cinta saya terhadap seni itu sudah 38 tahun, bukan setahun dua. Malah, sebelum anak-anak lahir pun saya sudah berkecimpung sebagai anak seni.
“Secara peribadi, saya senang hati apabila dapat terus menyanyi sambil busking kerana sepanjang empat jam busking, fikiran saya rasa kosong dan saya hanya fikir untuk menyanyi sambil bermain alat muzik.
“Jika orang ingin bersedekah saya senang hati untuk menerimanya tapi, kalau orang tidak bagi duit pun tidak mengapa, tiada paksaan,” katanya.
Ayah kepada tiga orang anak itu berkata, ketika ini dia melakukan aktiviti menyanyi jalanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dua kali seminggu dan ada kalanya dia akan busking di Pasar Malam Api-Api.
Katanya, aktiviti busking mempunyai jadual tertentu yang telah ditetapkan oleh Komuniti Busking Sabah yang kini dianggotai kira-kira 700 orang atau kumpulan di seluruh Sabah.
Menurutnya, apabila semakin berusia, beliau tidak mengambil banyak undangan menyanyi di hotel-hotel mewah kerana tidak ingin terbeban dengan tanggungjawab yang diberi oleh penganjur.
“Saya suka buat perkara yang tidak ditekan oleh orang dan tiada tanggungjawab yang berat untuk saya laksanakan.
“Kalau busking, sampai waktunya saya pulang tanpa perlu memikirkan tanggungjawab yang harus digalas.
“Saya tidak pernah fikir berapa jumlah yang saya dapat apabila busking kerana anak-anak saya semua sudah bekerja jadi, tiada apa yang saya mahu fikir. Daripada duduk di rumah, lebih baik saya busking sekurang-kurangnya anggota badan saya bergerak,” katanya.

Abu Bakar berkata, biarpun pembabitannya dalam bidang seni tidak seaktif dulu namun, dia masih ingin terus menyanyi dan menghiburkan orang ramai biarpun hanya melalui busking.
Dalam pada itu menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez, pihaknya juga ada mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKL) supaya membenarkan artis membuat persembahan jalanan. –UTUSAN










