GERIK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut setelah terbabit nahas empat kenderaan di Kilometer 55, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di sini semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Zara Khayla Khairil Azrul yang beralamat di Taman Siakap, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kemalangan yang dilaporkan pada pukul 3.30 petang itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Sienta dinaiki mangsa dengan tiga kenderaan lain iaitu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, lori tanpa muatan dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier.
Katanya, kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 41 tahun yang datang dari arah Gerik menghala ke Lenggong hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Toyota Hilux itu kemudian melanggar tiga kenderaan lain yang berada di laluan sah.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang MPV Toyota Sienta cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.
Katanya, lain-lain mangsa yang cedera masih menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lenggong dan Hospital Gerik.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor R. Kishen Raj di talian 011-26249291,” katanya. – UTUSAN








